Negeri Sembilan benar solat rapat saf 13 Jun ini

No Image Caption
A
A
A
SEREMBAN - Negeri Sembilan membenarkan solat berjemaah di masjid dan surau dengan cara merapatkan saf berkuat kuasa Isnin ini.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) melalui kenyataan di Facebook rasminya berkata, jemaah bagaimanapun wajib memakai pelitup muka dengan sempurna ketika berada di ruang yang tertutup dan perlu memastikan tidak mempunyai sebarang gejala positif Covid-19.

"Jemaah juga dibenarkan bersalaman namun tidak dibenarkan menyentuh muka selepas bersalaman.

"Aktiviti Qiamullail, Iktikaf di masjid dan aktiviti pengajian ilmu (kelas takmir/ kuliyah/ tazkirah/ ceramah) juga dibenarkan tanpa penjarakan fizikal," katanya.

Menurutnya, majlis akad nikah, majlis kenduri kahwin, majlis sambutan hari kebesaran Islam, mesyuarat, program komuniti seperti penyampaian bantuan, sumbangan, gotong royong dan seumpamanya turut dibenarkan tanpa penjarakan fizikal.

Bagaimanapun katanya, sebarang program yang diadakan tertakluk kepada kebenaran daripada JHEAINS daerah dan permohonan perlu dibuat terlebih dahulu kepada Pegawai Agama Islam Daerah.

Selain itu katanya, solat jenazah juga turut dibenarkan tanpa adanya penjarakan.

"Masjid dan surau yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) akan diarahkan tutup sekurang-kurangnya tujuh hari," katanya.