'Ten Hag sanggup buat apa sahaja demi Manchester United'

De Ligt sebahagian daripada skuad kendalian Ten Hag ketika Ajax mara separuh akhir Liga Juara-Juara sebelum ini.
De Ligt sebahagian daripada skuad kendalian Ten Hag ketika Ajax mara separuh akhir Liga Juara-Juara sebelum ini.
A
A
A

BINTANG Juventus, Matthijs de Ligt percaya bekas pengendali Ajax Amsterdam, Erik ten Hag mempunyai keupayaan untuk mengembalikan era kecemerlangan gergasi Inggeris, Manchester United.

Malah menurut De Ligt, keyakinan itu hadir selepas beberapa musim bersama Ten Hag semasa mengembalikan aura jagoan Belanda itu memenangi kejuaraan liga, piala berganda dan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara.

“Sejujurnya, Ten Hag seorang yang tekun dan memberi sepenuh jiwa dalam pekerjaannya. Ya, dia sanggup buat apa sahaja demi menghasilkan yang terbaik seperti dibuktikan semasa bersama Ajax sebelum ini.

"Dia benar-benar mendalami setiap tugasan bersama pasukan sekali gus menjadikan dia seorang jurulatih yang matang dan berpengaruh dalam mengendalikan situasi.

“Sebenarnya dia mempunyai banyak kualiti (untuk berjaya). Namun kita perlu lihat bagaimana dan sejauh mana dia akan pergi bersama Manchester United," kata De Ligt yang beraksi di pertahanan tengah.

Untuk rekod, Ten Hag merupakan pengendali tetap kelima The Red Devils sejak Sir Alex Ferguson bersara pada 2013 selepas kelab itu mengakhiri musim dengan persembahan terburuk sepanjang dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Manchester United menamatkan saingan di tempat keenam dengan 58 mata, 35 mata di belakang jiran tetangga Manchester City yang memenangi kejuaraan, selain terlepas slot Liga Juara-Juara musim depan dengan jurang mata yang sangat jauh.

Ten Hag juga dijangka menghadapi tugas mencabar untuk mencabar Manchester City dan Liverpool dalam misi mengembalikan Manchester United kepada prestasi era Ferguson.

Selain itu, agenda utama Ten Hag pada musim pertamanya adalah untuk mengaktifkan semula prestasi pemain berprofil tinggi seperti Bruno Fernandes, Harry Maguire dan Marcus Rashford yang menurun kebelakangan ini.

Mengulas senario itu, De Ligt berkata: “Ya, itu adalah antara tumpuan semasa di Ajax sebelum ini. Saya yakin dia pasti mampu meningkatkan prestasi para pemain terutamanya bertaraf bintang.

"Harus diingat, dia akan sanggup melakukan segala-galanya untuk menjadikan pasukannya bermain lebih baik, itu sahaja.”

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!