'Pekerja sering diganggu, diancam sekumpulan lelaki Indonesia'

(Gambar kiri) Lokasi tapak perlombongan pasir Sungai Pusu, Gombak. (Gambar kanan) Lokasi rumah kongsi diduduki warga Indonesia berhampiran tapak projek.
(Gambar kiri) Lokasi tapak perlombongan pasir Sungai Pusu, Gombak. (Gambar kanan) Lokasi rumah kongsi diduduki warga Indonesia berhampiran tapak projek.
A
A
A

GOMBAK - Pekerja-pekerja di tapak perlombongan pasir di Sungai Pusu di sini didakwa sering diganggu beberapa lelaki warga Indonesia dan turut diancam ketika melakukan aktiviti korek pasir sehingga mendatangkan ketakutan kepada mereka.

Pengarah Urusan Azmark Holdings Sdn Bhd, Datuk Muhammad Abdullah berkata, bukan itu sahaja, pihaknya juga turut berdepan dengan isu kecurian peralatan kerja pasir di tapak perlombongan terbabit.

Dalam kejadian terbaharu pada Rabu, Muhammad memberitahu, seorang pekerjanya telah diserang sekumpulan lima lelaki warga Indonesia bersenjatakan parang gara-gara bertanyakan mengenai peralatan kerja pasir yang hilang pada 7 Jun lalu.

Bagaimanapun, pekerjanya itu bernasib baik kerana sempat menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan dalam kejadian sekitar jam 2 petang itu.

"Penyelia tersebut telah ke rumah kongsi kumpulan berkenaan bagi bertanyakan hal tersebut sebelum salah seorang daripada mereka mengambil parang, menjerit dan cuba menyerangnya selain membaling batu," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau menjelaskan, mangsa kemudian menuju ke balai polis untuk membuat laporan, namun selang beberapa minit, mangsa dihubungi pekerja tapak memberitahu kumpulan sama telah merusuh dan menceroboh kawasan kerja mereka dengan membawa parang.

"Pekerja kami bertindak melarikan diri dengan lori, namun warga Indonesia tersebut kelihatan nekad untuk menyerang dengan mengejar mereka," katanya.

Susulan kejadian tersebut, beliau meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan diri dan pekerja tapak perlombongan pasir itu selain khuatir kumpulan tersebut kembali menyerang kerana masih bebas dan belum diambil tindakan.

Artikel Berkaitan:

"Aktiviti korek pasir yang dijalankan di dua-dua lokasi adalah sah dan mendapat kebenaran daripada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak di bawah permit bahan batuan, namun aktiviti kami sering diganggu dengan ugutan dan ancaman sehingga menimbulkan ketakutan dan trauma kepada saya dan pekerja," katanya.

Beliau turut memberitahu pernah membuat laporan polis pada 11 Mei lalu melibatkan kecurian dawai besi bagi kerja perlombongan pasir di lokasi berdekatan melibatkan kerugian RM1,400.

Beliau berharap, tindakan undang-undang dikenakan ke atas pelaku bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku.

Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapat maklum balas daripada Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed berhubung kejadian itu.