TFC mahu sambung khidmat Faisal

Faisal Halim
Faisal Halim
A
A
A

TERENGGANU Football Club (TFC) Sdn Bhd berminat untuk menyambung kontrak pemain sayap Harimau Malaya, Faisal Halim, yang bakal tamat pada 30 November ini.

Perkara itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab Rasid Jusoh yang berharap akan dapat terus menggunakan khidmat pemain kelahiran Pulau Pinang itu untuk musim akan datang.

"Kami di pihak pengurusan dan barisan kejurulatihan memang sepakat dan berhasrat untuk melanjutkan kontrak Faisal untuk musim akan datang.

"Faisal pemain yang penting untuk TFC, jadi kita harap beliau dapat kekal bersama pasukan hitam putih pada musim akan datang,” katanya selepas Majlis Pelancaran Koleksi Jersi Kedua (Away) Kit TFC 2022 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMAZA) pada Jumaat.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abd Jalil.

Jersi kedua TFC yang berwarna hitam diinspirasikan daripada bekas pemain bola sepak Terengganu, Ashari Samsuddin yang dikenali dengan gelaran 'Silent Killer'.

Bagaimanapun Ab Rasid berkata, pihaknya masih belum menerima jawapan daripada Faisal yang ketika ini sedang bersama dengan Harimau Malaya, untuk perlawanan kelayakan Piala Asia 2023.

"Alasan yang diberi pemain itu ialah dia (Faisal) mahu fokus kepada perlawanan mewakili Malaysia. Jadi dia belum fikir lagi untuk perkara sambung kontrak,” katanya.

Faisal yang berusia 24 tahun mendapat perhatian kelab utama Liga Malaysia selepas mempamerkan aksi cemerlang pada perlawanan peringkat antarabangsa. - Bernama