Kelantan FC pinjamkan Natanael kepada Dewa United

Natanael Siringoringo
Natanael Siringoringo
A
A
A

KELAB Liga Premier, Kelantan FC meminjamkan pemain importnya Natanael Siringoringo kepada Dewa United FC yang berpangkalan di Tangerang, Banten Indonesia sehingga berakhir pusingan pertama Liga 1 2022/23.

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman berkata, Dewa United FC berminat untuk mendapatkan khidmat Natanael yang juga berasal dari Indonesia bagi memperkuatkan pasukan tersebut dalam saingan liga negara tersebut.

"Pertemuan di antara pengurusan tertinggi kedua-dua kelab pada bulan lepas di Bali telah membincangkan hala tuju pemain ini untuk mendapatkan pengalaman berharga bermain di tahap tertinggi Liga Indonesia.

"Pinjaman pemain ini hanya sementara bagi memberi peluang kepada Natanael meningkatkan tahap permainan di negara asalnya sebelum kembali bersama Kelantan FC musim depan," katanya menerusi kenyataan media pada Jumaat.

Untuk rekod, Natanael yang mengisi kuota pemain import dari ASEAN merupakan antara empat pemain import yang memperkuat Kelantan FC musim ini, tiga lagi pemain adalah Nixon Guylherme (Brazil), Kervens Belfort (Haiti) dan Fadel Antar (Lubnan).

Jelas Norizam, Natanael yang boleh bermain di bahagian sayap dan serangan masih mempunyai kontrak bersama Kelantan FC sehingga penghujung musim 2024.

"Pihak pengurusan kelab Dewa United FC juga telah bersetuju untuk membuat bayaran pampasan 'transfer loan fee’ seperti dipersetujui oleh kedua-dua pihak," katanya.