10 lelaki didenda gagal perjelas wang RM3.14 juta dalam akaun

Seramai 10 lelaki didenda maksimum masing-masing RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang pada Jumaat.
Seramai 10 lelaki didenda maksimum masing-masing RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang pada Jumaat.
A
A
A

AMPANG - Padah gagal beri penjelasan mengenai wang lebih RM3.14 juta milik seorang guru swasta lelaki dalam akaun bank, seramai 10 lelaki didenda maksimum masing-masing RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.

Mereka ialah kontraktor, Mohamad Saifuddin Ismail, 29; pemandu lori, Mohammad Anas Kamarudin, 31; pengawal keselamatan, Muhammad Ariff Ahmad Tajuddin, 29; juruteknik, Muhamad Helmi Ahmad, 39 dan nelayan, Mohd Syukur Maula Muhamad Desa, 32.

Turut didenda ialah pengawal keselamatan, Mohd Hafiz Kamis, 38; peniaga, Muhammad Ikhwan Iswandy Ramli, 38; Mohd Nizam Mat Jasat, 51; penyelia tapak pembinaan, Khairul Mizan Mohamad Johari, 31, dan kontraktor S Vikneswaran, 29.

Kesemua tertuduh dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas 10 pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Mahkamah memerintahkan kesemua tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh berusia antara 29 hingga 51 tahun, didakwa gagal memberi penjelasan bagaimana mereka memperoleh wang berjumlah RM3,144,500 milik seorang guru swasta berusia 31 tahun, dalam akaun bank mereka dengan nilai terendah RM40,000 dan tertinggi RM2.3 juta.

Kesalahan didakwa dilakukan di dua bank di Ampang, antara 20 Februari hingga 4 April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, pengadu telah menerima panggilan daripada seorang lelaki (suspek) yang memperkenalkan diri sebagai Ketua Pegawai Operasi cukai dari Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.

Suspek menyatakan pengadu mempunyai tunggakan cukai selama 15 bulan berjumlah RM17,600.76 atas Syarikat Trillion Star Enterprise yang didaftarkan atas nama pengadu.

Guru itu kemudian diminta membuka akaun bank baharu sebelum maklumat perbankan diserahkan kepada suspek.

Hasil siasatan mendapati wang milik pengadu telah dimasukkan ke akaun bank milik kesemua tertuduh.

Semasa prosiding, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mohd Faiz Fahmy Abdul Razak merayu agar mahkamah menjatuhi hukuman denda yang minimum tanpa pemenjaraan ke atas kesemua anak guamnya dengan alasan perlu menanggung keluarga.

"Dalam kes ini, anak guam saya juga merupakan mangsa dan tidak sedar akaun bank digunakan oleh pihak ketiga.

"Mereka tidak memperoleh apa-apa manfaat atas kerugian yang ditanggung pengadu," katanya.

Bagaimanapun, pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran dan Nurul Ameera Sam Kamaruddin, memohon agar mahkamah menjatuhi hukuman berat, dengan mengambil kira kepentingan awam adalah mengatasi tertuduh.

"Selaku pemegang akaun, tertuduh perlu bertanggungjawab dan mengambil tahu transaksi yang berlaku dalam banknya sendiri apa lagi melibatkan jumlah yang besar.

"Mahkamah juga perlu mengambil kira kekerapan kes yang mana hampir setiap hari kes ini dipertuduhkan di mahkamah selain kerugian yang dialami oleh pengadu," katanya.