Rumah 'ternak' nyamuk aedes diserbu

Sebuah rumah dipenuhi barangan lama yang menjadi tempat takungan air bagi nyamuk aedes membiak. Gambar kecil: Zakaria
Sebuah rumah dipenuhi barangan lama yang menjadi tempat takungan air bagi nyamuk aedes membiak. Gambar kecil: Zakaria
A
A
A

KLANG - Pegawai Penguat Kuasa Jabatan Kesihatan Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyerbu beberapa buah di Taman Meru Indah di sini bagi mengesan dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes.

Hasil pemeriksaan menerusi Ops Denggi itu turut menemui sebuah rumah mengumpul barangan lama yang menjadi tempat takungan air ideal untuk nyamuk aedes membiak.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Jabatan Kesihatan MPK, Zakaria Ismail berkata, sebanyak 17 notis amaran dikeluarkan kepada pemilik rumah di sini untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes di kawasan rumah dalam tempoh seminggu.

"Jika mereka gagal membuat demikian, pihak MPK tidak teragak-agak untuk ambil tindakan menyita barangan yang dikumpulkan supaya tempat-tempat pembiakan boleh dimusnahkan dengan segera.

"Kita juga merayu kepada penduduk untuk mengambil masa 10 minit sekali seminggu bagi membersihkan tempat takungan air," katanya selepas menjalankan Ops Denggi di Taman Meru Indah di sini pada Jumaat.

Zakaria (kanan) memeriksa bekas-bekas takungan air di hadapan sebuah numah di Taman Meru Indah di sini pada Jumaat.
Zakaria (kanan) memeriksa bekas-bekas takungan air di hadapan sebuah numah di Taman Meru Indah di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Zakaria berkata, pihak penduduk boleh membuat permohonan kepada ketua komuniti atau ahli-ahli MPK untuk mengadakan program gotong-royong bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes.

Ujarnya, usaha tersebut amat dialukan oleh pihak MPK bagi menangani penyakit demam denggi dalam kalangan masyarakat khususnya di Klang.

"Penduduk boleh menghantar permohonan kepada ketua-ketua kampung atau ahli-ahli MPK dan jabatan untuk adakan program gotong-royong.

"Kita sedia membantu untuk bersama-sama menjaga kebersihan kawasan setempat dan MPK sentiasa mengalu-alukan kerjasama penduduk untuk tangani demam denggi serta menjaga kebersihan kawasan tempat tinggal menjadikan Klang selamat, bebas denggi, sihat dan sejahtera," katanya.