Polis nafi mangsa bunuh, bakar hamil

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

IPOH - Polis menafikan wanita ditemukan dalam keadaan terbakar dipercayai dibunuh di Kuala Kangsar, minggu lalu hamil seperti mana didakwa di media sosial.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, maklumat yang mengatakan wanita berusia 21 tahun itu mengandung hanyalah spekulasi ditimbulkan warga maya rentetan kejadian sama pernah berlaku di negara India.

Menurutnya, hasil bedah siasat dijalankan tidak membuktikan bahawa mangsa mengandung ketika kejadian.

"Ini adalah spekulasi dilakukan pihak tertentu di media sosial kerana di India ada satu kejadian berlaku yang mana mangsa telah dirogol dan dibakar.

"Mungkin insiden itu yang dikaitkan dengan kejadian di Kuala Kangsar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Bilik VVIP Restoran Nasi Vanggey di Greentown di sini pada Jumaat.

Mior Faridalathrash menurunkan tanda tangan merasmikan pembukaan Bilik VVIP Restoran Nasi Vanggey di Greentown di sini pada Jumaat.
Mior Faridalathrash menurunkan tanda tangan merasmikan pembukaan Bilik VVIP Restoran Nasi Vanggey di Greentown di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Presiden Goldsmith Entrepreneur Association Perak, Datuk Amaluddin Mohamed Ismail; Pengarah Eksekutif Perak Transit Berhad, Datuk Cheong Peak Sooi dan Pengarah Urusan Vanggey, Ahamed Azlanshah Saiful Jaafar Sadiq.

Mior Faridalathrash memberitahu, motif kejadian masih belum dapat dibuktikan, namun polis percaya kes itu ada kaitan dengan suspek utama iaitu teman lelaki mangsa berusia 20 tahun.

Jelas beliau, berdasarkan maklumat diberikan, mangsa kebiasaan keluar rumah bersama keluarga atau teman lelaki.

"Sebab itu kita tahan mereka ini bagi membantu siasatan dan polis telah mendapatkan bukti baharu yang boleh digunakan bagi membantu siasatan kes berkenaan," katanya.

Setakat ini, seramai lima individu termasuk teman lelaki mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Teman lelaki mangsa yang ditahan Khamis minggu lalu telah direman sehingga 16 Jun ini selepas mendapati keterangan diberikannya agak meragukan.

Empat lagi lelaki berusia 19 hingga 21 tahun yang merupakan rakan suspek ditahan di sekitar Kuala Kangsar dan direman sehingga Isnin ini.

Mayat mangsa dengan kesan luka di kepala itu, dipercayai dibunuh dalam tempoh 24 jam sebelum dijumpai orang awam dalam keadaan terbakar di tepi Sungai Kuala Kangsar dekat Kampung Talang sekitar jam 3.05 petang, 31 Mei lalu.

Turut dijumpai di lokasi kejadian, seketul batu konkrit dengan kesan darah dipercayai digunakan sebagai senjata untuk membunuh gadis itu.