TMJ masih pemegang saham majoriti JDT

Tangkap layar kenyataan Alistair di laman rasmi Johor Southern Tigers.
Tangkap layar kenyataan Alistair di laman rasmi Johor Southern Tigers.
A
A
A

TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim masih kekal sebagai pemilik kelab juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan memegang saham majoriti.

Begitupun Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak JDT, Alistair Edwards memaklumkan, Tunku Ismail akan melepaskan tugas berkaitan hal-hal bola sepak dan teknikal kepada pengurusan kelab tersebut.

Namun jelas Alistair, Tunku Ismail akan terus memantau perkara-perkara berkaitan infrastruktur, komersial dan kewangan kelab.

"Apa yang dimaksudkan ini adalah DYAM Tunku Ismail tidak akan lagi terlibat secara menyeluruh dalam aspek seperti perpindahan pemain, perbincangan pasukan, perkara harian berkaitan pasukan, aktiviti-aktiviti pasukan, perbincangan kontrak dan sebagainya yang menjadi sebahagian daripada tugas DYAM Tunku Ismail di kelab sebelum ini.

"Perkembangan terbaharu ini juga bermakna DYAM Tunku Ismail tidak akan lagi kerap berada di Pusat Latihan JDT atau Stadium Sultan Ibrahim untuk perlawanan dan sesi latihan, sesuatu yang DYAM Tunku Ismail sentiasa mengambil sedikit masa daripada jadualnya untuk berkunjung," ujar Alistair dalam kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi Johor Southern Tigers.

Mengulas lanjut, Alistair berkata, Tunku Ismail telah terlibat secara aktif dalam urusan harian pengurusan Harimau Selatan sepenuhnya sejak penubuhan kelab pada 2013 termasuk memberikan sentuhan peribadi kepada para pemain, jurulatih dan pegawai kelab tersebut.

"Kami memahami bahawa DYAM Tunku Ismail perlu fokus kepada komitmen lain seperti hal-hal berkaitan negeri Johor dan pengurusan JDT terharu kerana telah diberi kepercayaan untuk memikul tanggungjawab kelab ini," jelasnya.

Tunku Ismail sebelum ini membuat pengumuman mengejut apabila memaklumkan akan meninggalkan JDT pada Khamis melalui satu hantaran dalam Facebook rasmi Johor Southern Tigers.

"Disebabkan tanggungjawab dan komitmen saya yang lain, saya telah mengambil keputusan untuk berundur dan menyerahkan urusan harian kelab bolasepak JDT kepada pengurusan tertinggi kelab," ujar Tunku Ismail.