Bola sepak Malaysia perlukan TMJ: Pan Gon

Kim Pan Gon - Foto Bernama
Kim Pan Gon - Foto Bernama
A
A
A

KETUA Jurulatih skuad kebangsaan Kim Pan Gon terkejut dengan keputusan Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk berundur daripada menerajui Johor Darul Ta’zim (JDT) dan menggesa baginda mempertimbangkan semula keputusan itu.

Pan Gon berkata jika Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) kekal dengan pendirian untuk keluar daripada dunia bola sepak, maka ia satu kerugian amat besar kepada sukan itu di negara ini.

Menurut jurulatih kelahiran Korea Selatan itu, semangat cintakan bola sepak yang mendalam telah menyaksikan Tunku Ismail berjaya membawa JDT ke tahap lebih tinggi dalam masa kurang sedekad.

"Bola sepak Malaysia sememangnya perlukan TMJ,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Jumaat.

Pan Gon berkata sebelum ketibaannya di sini beliau sudah mengetahui pengaruh besar Tunku Ismail terhadap arena bola sepak Malaysia.

Beliau berkata selain meletakkan JDT di tahap yang membolehkan kelab itu layak beraksi dalam Liga Juara-Juara AFC, impak Tunku Ismail juga menyaksikan skuad Harimau Selatan itu mendapat pengiktirafan di seluruh Asia sekali gus membantu meningkatkan taraf bola sepak kelab di negara ini.

"Mentaliti kemenangan diterapkan Tunku Ismail adalah penting untuk melaksanakan perubahan dalam bola sepak tempatan,” katanya.

Sementara itu, Pan Gon berkata JDT telah menyalurkan lebih 15 pemainnya kepada skuad Harimau Malaya, malah mempunyai ramai pemain baharu yang lebih baik sedang dalam pembikinan.

Beliau turut menghargai tawaran Tunku Ismail supaya pasukan negara berlatih di Johor dengan menyifatkan barisan pemain yang berlatih di sana boleh mendapat manfaat daripada kemudahan terkini.

Semalam, Tunku Ismail mengumumkan berundur dan menyerahkan urusan harian kelab itu kepada pengurusan tertingginya dengan menyatakan keputusan itu adalah disebabkan tanggungjawab dan komitmennya yang lain.

Tunku Ismail diumumkan secara rasmi sebagai pemilik JDT pada Januari 2016. - Bernama