Rakyat mahu penyelesaian bukan percakaran

Kenaikan harga barangan asas seperti ayam, telur dan tepung membuatkan rakyat berterusan mengeluh. - Gambar hiasan.
Kenaikan harga barangan asas seperti ayam, telur dan tepung membuatkan rakyat berterusan mengeluh. - Gambar hiasan.
A
A
A

KETIKA ini rakyat dihimpit dengan pelbagai tekanan sama ada ekonomi, pendapatan dan kebajikan.

Isu kekurangan dan kenaikan harga barangan asas seperti ayam, telur dan tepung membuatkan rakyat berterusan mengeluh serta mengharapkan penyelesaian daripada para pemimpin.

Tak kiralah penyelesaian segera jangka pendek mahupun perancangan jangka masa panjang bagi memastikan mereka tidak terus terhimpit dengan masalah berkenaan.

Hari demi hari, rakyat terpaksa memikirkan bagaimana mahu mengimbangi kenaikan kos barang dan sara hidup, sehingga ada yang terpaksa terlalu berjimat cermat agar perbelanjaan harian atau bulanan mereka tidak ‘bocor’.

Namun seperti harapkan pegar, pegar makan padi, para pemimpin mahupun kerajaan yang dipilih untuk membela nasib asyik bercakaran serta bermain politik saban hari.

Seminggu dua ini, golongan pemimpin tak kira daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang sibuk bertelagah mengenai tarikh pilihan raya.

Kecoh satu 'Malaya' apabila masing-masing sibuk mengeluarkan hujah tersendiri; sama ada mahukan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dipercepatkan ataupun ingin tangguhkan sampai habis penggal.

Di satu pihak mahu cepat dengan alasan untuk wujudkan semula satu kerajaan yang kukuh dan stabil. Di satu pihak lain pula mahu mempertahankan baki penggal yang ada kononnya banyak lagi masalah rakyat belum selesaikan.

Pi mai pi mai tang tu. Main pusing-pusing pun masalah tetap sama. Isu rakyat tak selesai, keadaan negara tak banyak berubah dan orang politik pun asyik galak main wayang.

Rakyat tak mahu lagi pertelingkahan, percanggahan mahupun perbalasan politik yang penuh retorik. Apa yang rakyat mahukan adalah satu penyelesaian ‘once for all’.

Selesaikan segera polemik politik. Kalau mahupun kerajaan yang stabil dan mantap, bubar saja Parlimen dan kembalikan mandat kepada rakyat.

Biarlah rakyat pilih semula kerajaan baharu yang mereka yakin mampu membawa penyelesaian kepada pelbagai kemelut yang sudah lama mendesak kehidupan.

Jika tak mahu lagi nak buat pilihan raya, rakyat mahu pemimpin berhenti bergaduh. Jangan main politik murahan lagi dan bekerjasamalah demi menjamin kesejahteraan rakyat.