Jalan dilencongkan atasi kesesakan ketika musim durian

Gambar hiasan. - Foto 123rf (Gambar kecil: Kamarul Rizal)
Gambar hiasan. - Foto 123rf (Gambar kecil: Kamarul Rizal)
A
A
A

BALIK PULAU - Beberapa jalan dilencongkan selain dijadikan laluan sehala di daerah Barat Daya susulan peningkatan kenderaan berikutan musim durian yang telah bermula.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, selain musim raja buah itu, kesesakan jalan raya dijangka berlaku susulan cuti sekolah serta pesta durian yang akan diadakan pada 10 hingga 12 Jun ini.

Menurutnya, lencongan membabitkan Jalan Tun Sardon yang dilencongkan ke Jalan Pondok Upeh; Jalan Sungai Pinang/ Sungai Rusa dilencongkan ke Jalan Baharu, Sungai Korok dan Jalan Sungai Nipah dilencongkan ke Jalan Balik Pulau.

"Dengan pertambahan jumlah kenderaan di daerah ini, kita mengambil langkah dengan membuat beberapa lencongan jalan di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti.

"Susulan pesta durian yang akan diadakan bermula esok (Jumaat) hingga Ahad ini, ada jalan yang akan dilencongkan bermula jam 9 pagi lagi hingga 7 malam. Selain itu, jalan yang dilencongkan ini akan dilaksanakan setiap Sabtu dan Ahad sehingga hujung bulan ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu beliau berkata, antara jalan yang akan dijadikan laluan sehala adalah Jalan Gertak Sanggul.

"Jalan yang dijadikan sehala ini akan membenarkan kenderaan masuk sahaja.

"Jalan untuk keluar pula, pengguna jalan raya boleh menggunakan Jalan Kampung Masjid dan Jalan Tingkat Teluk Kumbar. Inisiatif ini akan dijalankan sehingga tempoh masa tertentu,'' katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Kamarul Rizal menasihatkan orang ramai supaya mematuhi papan tanda lencongan yang disediakan bagi memastikan aliran trafik lancar.