Upah RM500 bawa masuk PATI

Shamsul Baharin (kiri) melihat treler yang dirampas ketika pemeriksaan di sekatan jalan raya Kilometer 1.1 Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam pada Selasa.
Shamsul Baharin (kiri) melihat treler yang dirampas ketika pemeriksaan di sekatan jalan raya Kilometer 1.1 Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam pada Selasa.
A
A
A

KUBANG PASU - Empat pemandu treler masing-masing menerima bayaran sebanyak RM500 sebagai upah membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) warga India ke Malaysia melalui negara jiran.

Pegawai Pemerintah Batalion 1 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Shamsul Baharin Aman berkata, kesemua mereka menerima upah tersebut bagi jarak perjalanan sejauh lapan kilometer daripada pekan Dannok ke Changlun dekat sini.

Menurutnya, kegiatan pemandu lori yang berusia antara 28 hingga 41 tahun itu dikesan dalam pemeriksaan yang dijalankan antara jam 11.40 hingga 11.55 malam di sekatan jalan raya Kilometer 1.1 Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam pada Selasa.

"Malah kita dapati PATI ini cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menyamar sebagai kelindan lori yang menjadi modus operandi terbaru mereka.

"Keempat-keempat pemandu ini diupah oleh seorang individu yang bertindak sebagai tekong," katanya ketika sidang akhbar pada Khamis.

Shamsul Baharin ( kanan) memeriksa salah sebuah treler yang dirampas.
Shamsul Baharin ( kanan) memeriksa salah sebuah treler yang dirampas.

Mengulas lanjut, Shamsul Baharin berkata, pihaknya telah menahan kesemua pemandu dan tekong warga tempatan yang berusia 40-an pada hari yang sama di bawah Seksyen 26 (A) ATIPSOM 2007.

"Kita turut merampas keempat-empat treler yang dianggarkan bernilai RM650,000 serta barangan runcit, buah-buahan dan sayur-sayuran bernilai RM312,000 untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, enam PATI yang terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita turut ditahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

"Kesemua mereka berusia antara 30 hingga 59 tahun dan kita percaya mereka cuba menyeludup masuk ke sini untuk mencari kerja," ujarnya.

Dalam pada itu, Shamsul Baharin berkata, pihaknya akan mengetatkan kawalan sempadan termasuk pemeriksaan di sekatan jalan raya untuk memastikan tiada penyeludupan migran berlaku di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam.