RTB Taman Iping mampu selamatkan 2,000 penduduk berisiko banjir

Kon Yeow (tiga dari kanan) meninjau RTB Taman Iping di Batu Maung pada Khamis.
Kon Yeow (tiga dari kanan) meninjau RTB Taman Iping di Batu Maung pada Khamis.
A
A
A

BAYAN LEPAS- Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Taman Iping yang mempunyai dua buah rumah pam dengan kapasiti masing-masing enam dan tujuh meter padu sesaat merupakan inisiatif kerajaan Pulau Pinang dalam mengurangkan risiko banjir di Lembangan Sungai Nipah di sini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, projek bernilai RM16.5 juta itu direka bentuk pada tahap perlindungan 20 kala purata ulangan (ARI) dijangka mampu menyelamatkan sehingga 2,000 penduduk di kawasan penempatan, kawasan komersial dan industri daripada bencana banjir.

Menurutnya, kawasan Lembangan Sungai Nipah tersebut berkeluasan 3.2 kilometer persegi.

"Seperti yang dijanjikan di bawah 68 Manifesto 'Saya Pulau Pinang' ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu, kerajaan negeri gembira dengan kemajuan yang dicapai hasil komitmen semua pihak yang bertungkus-lumus dalam memastikan projek tebatan banjir berimpak tinggi ini berjaya direalisasikan.

"Walaupun kerja-kerja pembinaan projek ini terganggu akibat pandemik Covid-19, namun pencapaian pada hari ini harus dilihat dari segi ruang lingkup yang luas. Dengan siapnya RTB Taman Iping ini, ia diharapkan dapat mengelakkan penduduk di sekitar Lembangan Sungai Nipah ini daripada risiko banjir," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Rumah Pam Taman Iping di sini pada Khamis.

Tambahnya, daripada keseluruhan lapan buah projek RTB merangkumi bahagian pulau dan Seberang Perai dengan keseluruhan kos RM150 juta, kerajaan negeri melalui agensi pelaksana, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang telah menyiapkan empat buah projek iaitu RTB Parit 4, RTB Parit 5, RTB Mak Mandin dan terkini RTB Taman Iping.

"Empat buah projek kini di peringkat beberapa fasa kemajuan yang positif iaitu RTB Bayan Baru yang dijangka siap dalam masa terdekat, dua projek masih dalam fasa pembinaan iaitu Kolam Takungan Alma dan RTB Sungai Tiram di Kampung Naran dan yang terakhir RTB Permatang Rawa yang sedang dalam proses reka bentuk semula.

"Selain daripada projek-projek yang dinyatakan, terdapat dua buah projek iaitu Projek Tebatan Banjir Van Praagh dan Projek Tebatan Banjir Parit Monsun di Kampung Pokok Assam di Timur Laut telah bermula pada 1 Jun lalu.

"Sementara itu, Projek Tebatan Banjir Taman Tembikai di Seberang Perai Tengah (SPT) akan ditender dalam masa terdekat. Ketiga-tiga projek ini menggunakan peruntukan pembangunan negeri dan juga peruntukan amanah caruman perparitan," katanya.

Kata Kon Yeow, masih terdapat beberapa projek RTB yang masih dalam peringkat kajian dan reka bentuk menggunakan peruntukan Persekutuan dan Kerajaan Pulau Pinang yang sedang dilaksanakan oleh JPS Negeri dan JPS Malaysia.

"Saya berharap agar kajian dan reka bentuk ini dapat disiapkan mengikut jadual dan disusuli dengan peringkat pembinaan.

"Kita juga berharap agar komitmen kerajaan Negeri dan JPS Pulau Pinang menjelang tahun 2030 untuk mengurangkan 80 peratus daripada 63 kawasan 'hotspot' banjir yang dikenal pasti dapat dicapai dengan pelaksanaan projek yang sedang dilaksana dan telah dirancang," katanya.