Jangan pandang rendah kemampuan lawan

Michniewicz - foto RadioESKA.com
Michniewicz - foto RadioESKA.com
A
A
A

KEKALAHAN besar kepada Belgium perlu dijadikan pengajaran oleh kesebelasan Poland agar tidak memandang rendah kepada mana-mana lawan selepas ini.

Menurut pengendali Poland, Czeslaw Michniewicz, pemain juga tidak boleh berasa selesa biarpun berjaya menjaringkan gol pendahuluan kerana pihak lawan akan sentiasa berusaha untuk bangkit bagi memadamkan kelebihan itu.

“Inilah yang berlaku kali ini. Pemain-pemain Poland seakan terlalu gembira berjaya merobek gawang Belgium.

“Namun mereka lupa, mereka sedang berdepan dengan salah satu pasukan terbaik dunia ketika ini dan pasukan ini mampu melakukan apa sahaja terhadap lawan.

“Akhirnya ia (kebangkitan) Belgium berlaku dan ia turut melibatkan jumlah jaringan yang besar untuk menewaskan kami,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, Poland membuka jaringan menerusi penyerang sensasi Robert Lewandowski pada minit ke-28.

Bagaimanapun, Belgium kemudiannya bangkit menjaringkan enam gol menerusi Axel Witsel pada minit ke-42, Kevin De Bruyne (minit-59), Leandro Trossard (minit-73, 80), Leander Dendoncker (minit-83) dan Lois Openda (minit-90).

Sementara itu Michniewicz berharap agar kekalahan itu membakar semangat pemain untuk kembali bangkit pada perlawanan berdepan Belanda, 12 Jun ini.

Justeru katanya, semua pemain diingatkan untuk memberikan aksi terbaik pada perlawanan berkenaan.

“Kita bakal berdepan Belanda 12 Jun ini. Kita tidak gentar dan semua pemain perlu beraksi dengan baik dalam usaha mencatatkan kejayaan,” katanya.