Foto tular jual sayur, tiada apa perlu dimalukan, kata bekas KPN

Gambar Abdul Hamid di gerai rakannya tular di media sosial.
Gambar Abdul Hamid di gerai rakannya tular di media sosial.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menjelaskan gambar yang tular kononnya sedang menjual sayur-sayuran adalah gambar lama ketika beliau melawat gerai rakannya.

Abdul Hamid berkata, pada ketika itu, beliau melawat gerai kawan baiknya dan secara kebetulan ada individu yang lalu-lalang mengambil gambar.

"Gambar yang tular itu bukan satu isu besar kerana pada masa ini saya sedang menikmati kehidupan seharian sebagai seorang pesara kerajaan.

"Saya bebas untuk melakukan apa sahaja, asalkan ia halal dan tidak melanggar undang-undang," katanya pada Rabu.

Abdul Hamid berkata, beliau mempunyai pengalaman menjual sayur-sayuran dari ladangnya di pasar serta pasar mini di Seremban, Rembau dan Kajang.

"Tiada apa yang perlu dimalukan tentang apa yang kita buat asalkan ia halal dan tidak salah," katanya.

Beliau berkata, setiap individu tidak perlu berasa malu dan segan dengan apa juga bidang perniagaan dan kerja yang dilakukan termasuk menjual sayur-sayuran di tepi jalan ataupun di pasar.

Ahad lalu, seorang pengguna Twitter, memuat naik gambar Abdul Hamid di hadapan sebuah gerai menjual sayur.

Pengguna Twitter itu memuji sikap rendah diri dan keberanian bekas pemimpin tertinggi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu kerana tidak segan silu menjual sayur di pasar.

Sebelum ini, Abdul Hamid, semasa masih menjawat jawatan Ketua Polis Negara, pernah menyatakan bahawa rasa cintanya pada bidang pertanian termasuk bercucuk tanam apabila bersara kelak sekali gus untuk melakukan aktiviti yang boleh menyihatkan badan.

Abdul Hamid pada masa itu tidak sabar untuk menunggu waktu persaraannya pada Mei tahun lalu, sebelum terus menumpukan sepenuh perhatian pada bidang pertanian di kediamannya di Kampung Panchang, Rembau, Negeri Sembilan.