Kerajaan digesa perkenal dasar tingkat penggunaan EV

Zairil (dua dari kiri) bersama Tung Seang menunjukkan stesen pengecas motosikal elektrik percuma di Medan Renong, Padang Kota Lama pada Selasa.
Zairil (dua dari kiri) bersama Tung Seang menunjukkan stesen pengecas motosikal elektrik percuma di Medan Renong, Padang Kota Lama pada Selasa.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan pusat digesa memperkenalkan dasar dan inisiatif sokongan seperti konsesi cukai untuk meningkatkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) di negara ini.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, walaupun kerajaan telah mengumumkan beberapa insentif, namun ia tidak mencukupi dan langsung tidak merangkumi motosikal elektrik.

Menurutnya, kerajaan digesa untuk merangka dasar bagi motosikal elektrik segera agar Malaysia tidak ketinggalan berbanding negara-negara jiran.

"Kerajaan perlu merangka dasar terutamanya bagi motosikal elektrik kerana ia merupakan 'low hanging fruit' dan cara paling mudah untuk menceburi pasaran EV," katanya kepada media selepas meninjau pemasangan stesen pengecas motosikal elektrik percuma di Medan Renong, Padang Kota Lama di sini pada Selasa.

Turut hadir, Datuk Bandar Pulau Pinang, Datuk Yew Tung Seang.

Katanya, berdasarkan laporan Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA), kira-kira 20 peratus daripada semua kenderaan di jalan raya Asia Tenggara akan menggunakan EV menjelang 2025.

"Peratusan itu termasuk 59 juta kenderaan dua dan tiga roda serta 8.9 juta kenderaan empat roda.

"Dengan jumlah tersebut, kita boleh menjangkakan peningkatan dalam penggunaan EV memandangkan rantau Asia Tenggara mempunyai penduduk sekitar 661 juta orang," katanya.

Zairil berkata, Pulau Pinang mempunyai potensi yang luas dalam penggunaan motosikal elektrik kerana ia lebih menjimatkan kos dan menggalakkan kepelbagaian produk ke dalam pasaran.

"Ini adalah realiti terutamanya bagi perkhidmatan e-peruncitan dan penghantaran makanan yang dijangka akan memacu pertumbuhan pasaran dalam masa terdekat. Kerajaan negeri mengalu-alukan dan menggalakkan pengeluar e-motosikal tempatan dan syarikat penghantaran barangan atau makanan utama untuk menjalankan usahasama ini di Pulau Pinang.

"Ini bukan sahaja dapat membantu menggalakkan 'zero-emission mobility' malah dapat meningkatkan kualiti kehidupan dan kebajikan kumpulan B40 yang bergiat aktif dalam sektor penghantaran di negeri ini," katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri akan menambah lebih banyak kemudahan dan faedah yang boleh dinikmati oleh penunggang e-motosikal sementara menunggu motosikal mereka dicas seperti di kawasan untuk berehat dan menjamu selera.

"Kerajaan negeri bersama Penang Green Council, dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah memasang stesen pengecasan percuma di sembilan lokasi di sekitar kawasan pulau iaitu di Astaka Persiaran Gurney; Kompleks Makanan Medan Renong, Padang Kota Lama, Pasaraya 1st Avenue, Kompleks MBPP Lebuh Pantai, Kompleks Desiran Tanjung di Tanjong Tokong, Astaka Batu Lanchang, Kompleks Sri Selera Bayan Baru, Bukit Jambul Kompleks dan Kompleks Bukit Gedung.

"Langkah ini yang bertujuan untuk mempromosikan motosikal berkuasa elektrik adalah selaras dengan visi Penang2030 yang menekankan pelaburan dalam persekitaran binaan untuk meningkatkan daya tahan di samping membuka ruang buat Malaysia untuk mempromosikan 'zero- emission mobility'," katanya.

Beliau berkaya, kerajaan negeri yakin dengan pengenalan stesen-stesen tersebut, ia dapat mewujudkan lebih banyak peluang bagi Pulau Pinang untuk melakukan peralihan yang memanfaatkan alam sekitar dan penduduk Pulau Pinang.