ECER optimis jadikan Wilayah Pantai Timur hab Lembah Tenusu

Baidzawi (kanan) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) ketika program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Kuala Nerus, baru-baru ini.
Baidzawi (kanan) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) ketika program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Kuala Nerus, baru-baru ini.
A
A
A

MAJLIS Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) optimis menjadikan empat negeri sebagai hab Lembah Tenusu atau Dairy Valley dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Baidzawi Che Mat berkata, keseluruhan projek dianggarkan bernilai RM240 juta itu dijangka dapat membekalkan 40 peratus daripada kapasiti pengeluaran susu segar negara.

Katanya, pembangunan Lembah Tenusu telah dimulakan di kawasan berkeluasan 275 hektar di Jemaluang, Johor yang dinamakan Jemaluang Dairy Valley (JDV) dengan kerja-kerja pembinaan JDV telah dimulakan pada 5 Januari lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2024.

Menurutnya, ECER kini dalam proses mengenal pasti dan meneroka lokasi di tiga buah negeri lain iaitu di Pahang, Terengganu dan Kelantan bagi membangunkan projek tersebut.

"Setakat ini, kita telah mengenal pasti dua lokasi berkeluasan 385 hektar di Pahang iaitu di Bukit Kajang dan Sungai Ketam bagi pembinaan Pahang Dairy Valley (PDV).

"Ia dijangka dimulakan pada Januari 2024 dan siap pada 2026.

"Selain itu, kita turut mengenal pasti kawasan seluas 285 hektar di Lojing, Kelantan untuk pembinaan Kelantan Dairy Valley (KDV) di mana kerja pembinaan akan dimulakan pada Januari 2024 dan siap pada 2026," katanya ketika ditemui pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Kuala Nerus baru-baru ini.

Baidzawi
Baidzawi

Baidzawi berkata, setakat ini lokasi pembangunan bagi Terengganu Dairy Valley (TDV) masih dalam proses pengesahan dan kerja pembinaan dijangka bermula pada Januari 2025 serta siap pada Januari 2027.

Katanya, sesi libat urus antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sedang berjalan bagi menjayakan projek berkenaan.

"Projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) ini selaras dengan matlamat kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap susu import.

"Jika ia dapat dilaksanakan sepenuhnya nanti, kita jangka projek ini mampu membekalkan 18.5 juta liter susu setahun atau purata pengeluaran tiga hingga 5.2 juta liter susu oleh setiap negeri," katanya.

Selain menghasilkan susu segar, Baidzawi berkata, tumpuan akan turut diberikan terhadap sektor penghasilan makanan ternakan di negeri Pantai Timur.

Baidzawi (tengah) bersama peserta dan pengunjung program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Kuala Nerus yang diadakan pada 2 hingga 4 Jun lalu.
Baidzawi (tengah) bersama peserta dan pengunjung program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Kuala Nerus yang diadakan pada 2 hingga 4 Jun lalu.

Katanya, inisiatif membangunkan bekalan makanan akan turut diberi perhatian bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap bekalan import.

"Projek makanan ternakan adalah sebahagian daripada projek Lembah Tenusu. Kita percaya, apabila ia turut dibangunkan, banyak faedah yang diperoleh di samping mewujudkan peluang pekerjaan dan menjadi sumber kekayaan baharu," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai penglibatan ECER dalam AKM, beliau berkata, ia bagi mempromosikan program pembangunan modal insan yang diilaksanakan seperti empower ECER dan entrepreneur ECER.

"Pada siri jelajah itu, ECERDC turut menampilkan dalam kalangan peserta yang telah menerima manfaat daripada program pembangunan modal insan yang dianjurkan.

"Antaranya ialah demonstrasi robotik oleh pelajar Orang Asli di samping demonstrasi masakan dan seni kraf oleh usahawan di bawah Program empower ECER," katanya.