Jualan durian cecah 1,000kg sehari: Peniaga

Kamarul mengakui durian musang king, IOI di gerai milikya di Jalan Gambang- Batu Tiga di sini mendapat permintaan tinggi daripada penggemar raja buah itu.
Kamarul mengakui durian musang king, IOI di gerai milikya di Jalan Gambang- Batu Tiga di sini mendapat permintaan tinggi daripada penggemar raja buah itu.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Permintaan terhadap durian kekal tinggi meskipun harga jualannya dikatakan meningkat di pasaran.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa gerai raja buah itu di sekitar bandar Kuantan mendapati aktiviti penjualan berjalan rancak dan peniaga mendakwa jualan buah durian dianggarkan sekitar 800 hingga 1,000 kilogram (kg) sehari.

Peniaga durian, Kamarul Hafsan, 36, berkata, setakat ini perniagaan berjalan lancar dan pelanggan tidak putus-putus mengunjungi gerai buahnya di Jalan Gambang-Batu Tiga di sini.

Kamarul di gerai milikya di Jalan Gambang- Batu Tiga yang mendapat permintaan tinggi daripada penggemar raja buah itu.
Kamarul di gerai milikya di Jalan Gambang- Batu Tiga yang mendapat permintaan tinggi daripada penggemar raja buah itu.

“Setakat ini, permintaan daripada pelanggan dan dakwaan mengatakan durian tidak laku itu tidak benar sama sekali.

“Setiap hari saya mampu menjual sekitar 800 hingga 1,000kg durian tempatan seperti IOI, musang king, durian kahwin dan durian kampung,” katanya ketika ditemui di gerainya di Jalan Gambang- Batu Tiga di sini pada Selasa.

Dia yang sudah 10 tahun berniaga durian berkata, bekalan durian diperoleh daripada pembekal di Johor Bahru dan diterima setiap hari olehnya.

Jelasnya, harga yang ditawarkan antara RM10 hingga RM80 sekilogram dengan mengikut jenis dan gred durian.

“Kita tawarkan harga mampu milik dan semua pelanggan boleh membelinya,” ujarnya.

Seorang lagi peniaga durian, Mohd Sabrin Mohd Nor, 41, mengakui jualan itu meningkat dua kali ganda berbanding dua tahun lalu.

Mohd Sabrin (kanan) membantu pelanggan memilih durian kahwin di gerai miliknya di Batu Tiga di sini.
Mohd Sabrin (kanan) membantu pelanggan memilih durian kahwin di gerai miliknya di Batu Tiga di sini.

Susulan itu, dia terpaksa membuat tempahan pelbagai jenis durian daripada pembekal daripada Johor Bahru pada setiap hari.

“Kalau sebelum ini, jualan amat perlahan, tetapi sejak dua tiga hari ini, durian laris dan ramai pelanggan datang.

“Setiap hari saya perlu mendapatkan bekalan daripada pembekal sebanyak 20 bakul dengan berat durian yang dianggarkan lebih 60kg,” katanya.

Berlainan pula dengan pandangan Azizon Awang, 46, yang mendakwa sambutan masih berkurangan disebabkan harga durian mahal sekali gus menjadi penyebab pelanggan kurang membeli.

Azizon
Azizon

“Kalau ramai permintaan naiklah harga tu, kalau permintaan kurang maka harga akan jatuh serta merta.

“Sebagai contoh durian kampung harga ditolak pekebun kepada pemborong sebanyak RM8 sekilogram, pemborong tolak kepada pembekal RM9, seterusnya pembekal jual kepada peruncit RM11 sehingga RM12. Jadi kami (peruncit) jual kepada pembeli RM15 hingga RM20 sekilogram,” jelasnya.

Sementara itu, pembeli durian, Muhamad Abdul Rashid, 37, memberitahu, harga durian setakat ini tidak terlalu mahal dan masih boleh dibeli.

"Dulu saya beli durian IOI pada harga RM45 sekilogram, namun saya lihat sekarang harga sudah turun hingga RM30 lebih. Penurunan harga ini mungkin disebabkan lambakan buah berkenaan ketika ini," katanya.