Kerani didenda RM6,000 ugut bunuh rakan

Wan Muhammad Firdaus (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Melaka pada Selasa.
Wan Muhammad Firdaus (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Melaka pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Seorang kerani didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap rakannya.

Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Wan Muhammad Firdaus Wan Hussain, 24, menukar pengakuan kepada bersalah.

Berdasarkan pertuduhan, Wan Muhammad Firdaus didakwa dengan sengaja melakukan ugutan jenayah hendak menyebabkan kematian terhadap Muhammad Shahrul Amri Salme, 29, di hadapan sebuah rumah di Pangsapuri Bukit Beruang Utama pada 20 Jun 2021, jam 10.30 malam.

Sabit kesalahan boleh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim manakala tertuduh diwakili peguam bela, Datuk Aravindhakshan MNV Pillai.

Mahkamah kemudian memutuskan hukuman itu dan memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika ingkar membayar denda itu.