Jangan buat spekulasi kes Taman Surian

Laporan Sinar Harian pada Selasa mengenai pasangan suami isteri yang tertekan akibat tindakan jiran mengubah suai rumah tanpa kebenaran.
Laporan Sinar Harian pada Selasa mengenai pasangan suami isteri yang tertekan akibat tindakan jiran mengubah suai rumah tanpa kebenaran.
A
A
A

NILAI - Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung kes khianat membabitkan pasangan suami isteri yang juga penduduk di Taman Surian di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, dalam kejadian itu, seorang lelaki melakukan khianat dengan memecahkan cermin kereta pasangan berkenaan kerana tidak berpuas hati dengan tindakan suami isteri itu.

"Susulan insiden itu, polis telah memanggil kedua-dua pihak yang terlibat untuk dirakam keterangan.

"Fokus siasatan menjurus kepada kejadian khianat yang dilaporkan dan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Selasa.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan suami isteri itu tertekan kerana jiran mereka melakukan pengubahsuaian rumah secara haram sehingga mengakibatkan kediaman mereka rosak dan membahayakan keluarga.

Pasangan berkenaan sudah membuat aduan rasmi kepada Majlis Bandaraya Seremban (MBS) untuk tindakan, namun kerja-kerja pengubahsuaian dilihat tetap diteruskan.

Difahamkan pihak MBS sudah mengeluarkan notis arahan memberhentikan kerja-kerja pengubahsuaian sebanyak tiga kali sejak tahun 2019.

Menurut Mohd Fazley, siasatan berkaitan kes khianat itu sedang dijalankan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang 12 bulan dan tidak lebih daripada lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Jelasnya, kertas siasatan segera dilengkapkan dan dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri untuk arahan selanjutnya.

"Justeru itu polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian berlaku bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran awam," katanya.