92 pelajar di Melaka dikesan positif dadah sejak 2017 hingga 2020

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

MELAKA - Seramai 92 pelajar berusia 13 hingga 17 tahun di Melaka didapati positif dadah menerusi saringan secara rawak di 315 sekolah menengah sejak 2017 hingga 2020.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pelajar terbabit dikesan terlibat dalam penyalahgunaan pelbagai jenis dadah seperti opiat, ganja dan methamphetamine.

"Perkara ini amat merisaukan kerana mereka datang ke sekolah dalam keadaan yang positif (dadah) selain penggunaan dadah sintetik yang diambil oleh mereka boleh memberikan kesan buruk sehingga menjadikan mereka tidak waras dan hilang pertimbangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Sayangi Hidup Elak Derita Selamanya (Shields) di Muzim Penjara Malaysia Melaka di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka, Wan Madihi Wan Salleh dan Pengarah Penjara Melaka, Roslan Mohamed.

Dr Muhamad Akmal berkata, justeru, kerajaan negeri akan menggembleng usaha bersama AADK, jabatan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan bagi memerangi penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja yang masih bersekolah secara besar-besaran tahun ini.

"Kita melihat perkara ini perlu ditangani secara serius dan pada fasa peralihan ke endemik tahun ini, AADK bersama pihak-pihak berkaitan akan melaksanakan pelbagai aktiviti pencegahan selain meneruskan saringan di sekolah-sekolah.

"Saringan ini bagi mengenal pasti pelajar yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah supaya tindakan intervensi awal dapat dilakukan dan mereka akan diberi bimbingan kaunseling serta dirujuk bagi mendapatkan rawatan pemulihan secara sukarela dengan persetujuan ibu bapa,” katanya. - Bernama