Sokongan emosi bendung sakit mental

Ada kalanya seseorang memerlukan bantuan dan adakala mereka memberi amaran tetapi kita tidak dapat melihatnya. - Foto 123rf
Ada kalanya seseorang memerlukan bantuan dan adakala mereka memberi amaran tetapi kita tidak dapat melihatnya. - Foto 123rf
A
A
A

TRAGEDI seorang lelaki yang dipercayai membunuh dan mengerat ibu kandungnya sendiri kepada 15 bahagian di Parit Buntar, Perak seperti dilaporkan media pada Ahad amat meruntun hati.

Perasaan sedih dan marah bercampur baur memikirkan bagaimana seorang anak tergamak bertindak sedemikian terhadap insan yang melahirkan dan membesarkannya.

Namun, di sebalik amarah terhadap suspek, kita tidak boleh terus menghukumnya kerana di dalam sistem prosedur dan undang-undang jenayah, seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan mahkamah di akhir proses perbicaraan.

Dalam kes ini, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek dipercayai mempunyai masalah mental, yang mungkin menjadi antara pertimbangan semasa proses perbicaraan nanti.

Jadi, biarlah pihak berkuasa yang lebih arif menyelesaikan kes ini mengikut proses undang-undang sewajarnya.

Cuma, apa yang perlu direnungkan ialah bagaimana masalah mental yang tidak terkawal boleh menyebabkan seseorang itu bertindak di luar kawalan, sehingga membawa kepada kes jenayah seperti bunuh.

Pada 1 September 2021, kes hampir sama dilaporkan.

Seorang pesakit mental didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan atas pertuduhan cuba membunuh ayah kandungnya dengan menikam bahagian leher menggunakan sebilah pisau.

Itu sebahagian daripada beberapa kisah yang dilaporkan.

Bagaimana pula kisah yang hampir sama, namun tidak dilaporkan?

Mengikut laporan media, masalah kesihatan mental dalam kalangan rakyat Malaysia kini semakin membimbangkan berbanding setengah juta orang yang direkodkan dalam Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019.

Ia susulan berlaku trend peningkatan jumlah pesakit yang datang mendapatkan rawatan doktor.

Setiausaha Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr Firdaus Abdul Gani berkata, bilangan pesakit yang datang mendapatkan rawatan bagi masalah kesihatan mental sejak pandemik Covid-19 melanda sehingga sekarang meningkat terutama membabitkan kes kemurungan dan keresahan.

Lebih membimbangkan, berdasarkan laporan NHMS 2019 mendapati sebanyak 424,000 atau 7.9 peratus kanak-kanak mengalami masalah kesihatan mental.

Melihatkan angka itu, kita wajar lebih bersedia dan merangka solusi jangka panjang kerana cabaran mendatang adalah lebih besar dan tentunya angka rakyat negara ini yang berdepan dengan masalah mental juga akan bertambah.

Datuk Seri Dr Adham Baba ketika menjadi Menteri Kesihatan sebelum ini memaklumkan, sebanyak 85.5 peratus daripada 145,173 panggilan diterima agensi kerajaan sejak 25 Mac 2020 hingga 20 Mei 2021 adalah membabitkan isu kesihatan mental yang memerlukan sokongan emosi dan kaunseling seperti stres akut, keresahan, kemurungan, penderaan dan tingkah laku bunuh diri.

Menurutnya, antara punca yang dikenal pasti ialah hilang pekerjaan, tiada sumber pendapatan, konflik keluarga, masalah hubungan interpersonal, stigma dan kurang akses kepada perkhidmatan bantuan.

Data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mendapati, sebanyak 1,080 kes cubaan bunuh diri dilaporkan menerima rawatan di hospital KKM dalam tempoh Januari hingga Disember 2020.

Angka dan punca itu diperoleh menerusi Talian Bantuan Sokongan Psikososial yang diwujudkan secara kerjasama antara KKM-Mercy Malaysia dan talian helpline agensi kerajaan lain seperti Talian Kasih oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Talian KSK-Care (Keluarga, Sosial dan Komuniti) oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Dalam mendepani isu ini, apa yang paling penting adalah masyarakat kita sendiri perlu memahami dan memberikan sokongan emosi kepada mereka yang berdepan dengan masalah kesihatan mental. Selain itu, orang ramai juga perlu menghapuskan persepsi sekiranya mereka mendapat bantuan psikologi akan dianggap sebagai orang tidak siuman.

Penaung National Alliance of Mental Health (NAMH), Datuk Ras Adiba Radzi berkata, masyarakat tidak sepatutnya malu mendapatkan sokongan sekiranya mengesyaki diri mengalami masalah kesihatan mental.

Jelasnya, ada kalanya seseorang memerlukan bantuan dan adakala mereka memberi amaran tetapi kita tidak dapat melihatnya.

Justeru, adalah penting untuk kita semua bersama-sama saling menjaga antara satu sama lain, memerhati dan menyedari akan petunjuk dan perkara kecil.

Sebagai manusia, ada masanya kita memerlukan sokongan dan sedikit galakan.

* Farah Shazwani Ali ialah wartawan Sinar Harian