Mat Ropi azam kekalkan momentum positif di Kota Bharu

Muhammad Rafi (kanan) menepis asakan Prachit pada aksi Superfight lima pusingan di kejohanan muay Thai berkenaan. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Muhammad Rafi (kanan) menepis asakan Prachit pada aksi Superfight lima pusingan di kejohanan muay Thai berkenaan. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KEJAYAAN mempertahankan Tali Pinggang Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menjadi pembakar semangat bagi mengharungi satu lagi pertandingan muay Thai yang dijadualkan berlangsung di Kota Bharu pada 17 Jun ini.

Itu keazaman petinju Kelab Muaythai Kuda Merah PDRM, Muhammad Rafi Abdul Manaf yang lebih dikenali Mat Ropi selepas mengekalkan status juara pada Kejohanan KWP-RXD BULL Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Kuda Merah Muaythai Challenge 2022, setelah menewaskan petinju Kelab Muaythai Raja Lebah Thailand, Oii Prachit.

Namun begitu jelas Mat Ropi, akan lebih berwaspada dan mempersiapkan diri menjelang aksi berdepan lawannya yang juga petinju dari Afrika Selatan, Ncedo Gomba pada perlawanan tersebut.

“Insya-ALLAH, 17 Jun nanti saya akan berdepan dengan Gomba petinju dari Afrika Selatan dalam satu kejohanan di Kota Bharu, namun saya juga mendapat tahu bahawa Gomba bukannya calang-calang petinju.

“Saya berazam untuk lakukan yang terbaik ketika berdepan dengannya nanti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Muhammad Rafi berkata demikian sejurus tamat aksi berdepan Oii Prachit bagi Superfight lima pusingan sempena kejohanan berkenaan yang menyaksikan dia menewaskan Prachit menerusi technical knock-out (TKO) untuk mengekalkan kejuaraan dimenangi sejak 2012.

Mengulas mengenai kemenangannya, Muhammad Rafi mengakui berbangga apabila berjaya mempertahankan kejuaraan berkenaan.

“Alhamdulillah, saya masih lagi berjaya mempertahankan kejuaraan ini sejak 2012. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan kepada saya selama ini. Insya-ALLAH, saya akan cuba lakukan yang terbaik pada kejohanan di Kota Bharu,” katanya.