Lelaki Bangladesh ceroboh landasan LRT diberkas

No Image Caption
A
A
A

SUBANG JAYA - Tindakan seorang lelaki warga Bangladesh menceroboh landasan transit aliran ringan (LRT) dengan alasan untuk bergambar membawa padah apabila dia ditahan dalam kejadian di Stesen LRT Alam Megah di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Khalid Othman berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang itu mengakibatkan gangguan terhadap sistem LRT.

"Tindakan suspek berumur 24 tahun itu berjaya dikesan polis bantuan di stesen LRT berkenaan.

"Suspek kemudiannya diberkas dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Katanya, tindakan suspek telah menyebabkan sistem LRT terganggu dan terhenti selama lima minit.

"Siasatan awal dijalankan mendapati suspek bertindak menceroboh trek landasan untuk bergambar," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut berkaitan kejadian masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.