Kes Covid-19 menurun 15.5 peratus: KP Kesihatan

Bilangan kes baharu Covid-19 di negara ini bagi Minggu Epidemiologi (ME) ke-22 yang bermula dari 29 Mei hingga 4 Jun menunjukkan penurunan. - Gambar hiasan
Bilangan kes baharu Covid-19 di negara ini bagi Minggu Epidemiologi (ME) ke-22 yang bermula dari 29 Mei hingga 4 Jun menunjukkan penurunan. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bilangan kes baharu Covid-19 di negara ini bagi Minggu Epidemiologi (ME) ke-22 yang bermula dari 29 Mei hingga 4 Jun menunjukkan penurunan 15.5 peratus iaitu 11,052 kes berbanding 13,076 kes pada minggu sebelumnya (ME ke-21).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menyaksikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Malaysia kini 4,513,631 kes.

"Purata kes aktif setiap hari bagi ME ke-22 adalah 23,290 iaitu terdapat penurunan 8.2 peratus berbanding minggu sebelumnya.

"Purata kadar kebolehjangkitan Covid-19 (nilai Rt) juga menunjukkan penurunan 2.2 peratus iaitu 0.91 berbanding 0.93 pada minggu sebelumnya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, bilangan kes sembuh pada ME ke-22 menurun 13.4 peratus (15,925 kes kepada 13,797 kes) berbanding ME ke-21, menjadikan kumulatif kes sembuh 4,455,499.

Dr Noor Hisham berkata, kes kematian pada ME ke-22 pula menunjukkan peningkatan kepada 36.8 peratus, dengan 26 kes berbanding 19 kes pada minggu sebelumnya, menjadikan kumulatif kematian kini 35,686.

Sementara itu, beliau berkata jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan iaitu hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 11 peratus untuk ME sama berbanding ME sebelumnya.

"Namun begitu, didapati tiada perubahan kepada jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk bagi semua kategori. Jumlah kes memerlukan alat bantuan pernafasan pula menurun 17 peratus.

"Secara keseluruhan, penggunaan katil bukan kritikal menurun lapan peratus dan penggunaan katil PKRC tiada perubahan manakala penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) menurun 14 peratus," katanya.

Dr Noor Hisham berkata kes-kes positif Covid-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara semakin menunjukkan pengurangan dengan kedatangan pesakit ke CAC menurun 11.6 peratus dan bilangan kes Covid-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah menurun 17.8 peratus.

Bilangan kes Covid-19 yang dirujuk CAC ke PKRC atau hospital pula meningkat 2.5 peratus, katanya. - Bernama