'Geng Fahmi' aktif pecah rumah di Hulu Terengganu tumpas

Mohd Adli (tengah) menunjukkan barangan rampasan ada sidang akhbar di IPD Hulu Terengganu pada Isnin.
Mohd Adli (tengah) menunjukkan barangan rampasan ada sidang akhbar di IPD Hulu Terengganu pada Isnin.
A
A
A

HULU TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tujuh kes pecah rumah susulan penahanan tiga suspek dikenali sebagai Geng Fahmi yang menjadi dalang bagi kegiatan jenayah itu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, dua daripada suspek yang merupakan pasangan suami isteri ditahan ketika menjalankan proses jualan barangan kemas di sebuah hotel di Pudu, Kuala Lumpur pada Sabtu.

"Polis menerima maklumat berhubung proses penjualan barangan kemas yang dipercayai mempunyai kaitan kes pecah rumah yang dilaporkan di daerah ini pada 2 Jun lalu.

"Ekoran itu, kita berjaya menahan pasangan suami isteri berusia 28 dan 38 tahun bersama barangan kemas bernilai RM47,400 yang dipercayai dicuri dari sebuah rumah yang dipecah masuk di Kampung Pauh, Khamis lalu," katanya pada sidang akhbar di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu di sini pada Isnin.

Menurut Mohd Adli, pihak polis turut menahan seorang lagi lelaki berusia 28 tahun iaitu adik kepada suspek wanita di Wakaf Tapai, Marang pada Ahad, susulan penahanan pasangan terbabit.

"Lelaki terbabit yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta baharu dibebaskan dari penjara pada Januari lalu dipercayai menjadi suspek utama dalam kes ini," katanya.

Beliau berkata, pada 2 Jun lalu, pihak polis menerima laporan kejadian kes pecah rumah di Kampung Pauh, Kuala Berang di sini.

Katanya, suspek dipercayai telah masuk ke rumah berkenaan pada awal pagi dan melarikan barang kemas serta wang tunai dianggarkan lebih RM50,000.

"Aktiviti ini mula dilakukan suspek awal Januari lalu dan terhenti seketika apabila operasi Selamat (Ops Selamat) diaktifkan pada Aidilfitri.

"Dengan tangkapan suspek, pihak polis percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tujuh kes pecah rumah yang dilaporkan di daerah Hulu Terengganu dan beberapa kes di Marang membabitkan 215.33 gram barangan kemas dan wang tunai dianggarkan bernilai RM100,000," katanya.