Perkenal kursus integriti, antirasuah di sekolah rendah: PBM

Nor Hizwan
Nor Hizwan
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Bangsa Malaysia (PBM) berpandangan bahawa Kementerian Pendidikan (KPM) harus memperkenalkan Kursus Integriti dan Antirasuah di peringkat sekolah rendah.

Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad berkata, ia berikutan kesedaran mengenai gejala rasuah lebih mudah dipupuk dalam kalangan kanak-kanak berbanding golongan remaja.

Ujar beliau, ia mungkin sudah terlambat jika kursus tersebut dijadikan sebagai subjek wajib kepada pelajar pengajian tinggi

“Mereka yang berusia lewat remaja atau awal 20-an kebiasaannya lebih sukar menerapkan nilai seperti menolak rasuah.

“Walaupun mereka menduduki mata pelajaran ini di universiti atau mendapat markah yang cemerlang, tidak bermakna mereka akan menghindari gejala merosakkan ini.

“Ini hanya bermakna mereka mempunyai pemahaman teori tentang subjek ini,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada Sabtu, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah telah memutuskan supaya Kursus Integriti dan Antirasuah diwajibkan di semua institusi pengajian tinggi (IPT) bermula tahun depan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata, kursus itu akan menjadi subjek yang sistematik dan berstruktur untuk pemahaman pelajar mengenai rasuah.

Mengulas lanjut, Nor Hizwan berkata, sekiranya pelajar sekolah rendah didedahkan kepada mata pelajaran tersebut lebih awal, besar kemungkinan mereka akan dapat menyerap nilai seperti ketelusan dan integriti dengan lebih baik.

“Bak kata pepatah Melayu, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.

“Selain reformasi institusi, satu elemen penting dalam memerangi rasuah ialah mengubah minda rakyat Malaysia di mana sesetengah lapisan masyarakat masih merasakan rasuah adalah sebahagian daripada budaya kita tatau amalan yang boleh diterima.

“Mengubah ini memerlukan kita mempunyai rancangan jangka panjang yang merangkumi kempen pendidikan awal mengenai gejala rasuah,” ujarnya.