Sampel air Pulau Perhentian Kecil didakwa tercemar dianalisis

Ariffin
Ariffin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sampel air di Pulau Perhentian Kecil yang didakwa tercemar akibat sisa kumbahan tidak dirawat kini dalam perhatian serius kerajaan negeri.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman berkata, satu mesyuarat khas tindakan yang dipengerusikan Pegawai Daerah Besut telah diadakan pada Ahad bagi meneliti isu ini dan sampel air akan dianalisis.

"Jabatan terlibat sudah diarahkan mengambil sampel air yang didakwa tercemar serta melakukan pemantauan segera terhadap isu yang tular itu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Menurut Ariffin, jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri mengambil tindakan terhadap isu berkaitan enam rakan yang didakwa keracunan makanan dan jatuh sakit selepas berenang di perairan Pulau Perhentian Kecil yang tular pada Sabtu.

"Difahamkan, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Besut belum menerima sebarang laporan berhubung kes tersebut.

"JKNT telah menyemak data kejadian keracunan makanan bagi tahun 2021 sehingga 5 Jun namun tiada menerima sebarang notifikasi kes keracunan makanan yang berlaku di Pulau Perhentian,"katanya.

Ariffin menegaskan, kerajaan Terengganu memandang serius perkara itu terutama membabitkan isu keselamatan pelancong.

"Jika dakwaan tersebut didapati benar, ia sudah tentu memberikan imej negatif terhadap industri pelancongan negeri yang secara tidak langsung akan menjejaskan keyakinan pelancong untuk berkunjung ke pulau peranginan di Terengganu," katanya.

Sebuah portal berita pada Sabtu melaporkan enam sekawan mendakwa mereka mengalami keracunan makanan dan jatuh sakit selepas berenang di perairan yang dipercayai tercemar dengan sisa kumbahan yang tidak dirawat di Pulau Perhentian Kecil di Terengganu.

Kesemua mereka mendakwa mula mengalami muntah-muntah pada malam terakhir ketika menghabiskan masa bercuti selama dua malam di lokasi tarikan pelancong itu.