Khausem akui gembira, teruja

Khausem. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Khausem. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
A
A
A

PETINJU Kelab Muaythai Selendang Kuning, Den Khausem mengakui teruja apabila memenangi Tali Pinggang Datuk Seri Johari Abd Ghani pada saingan Kejohanan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP)-RXD BULL Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Kuda Merah Muaythai Challenge 2022 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur di sini.

Malah menurut Khausem, ia merupakan kemenangan pertama yang dilakar di negara itu diharap akan menjadi pemangkin kepadanya untuk melakar lebih banyak kemenangan pada masa depan.

“Saya rasa sungguh gembira dengan kemenangan ini... malah sebenarnya saya tak tahu pun perlawanan ini adalah pertarungan bagi merebut tali pinggang.

“Namun sejujurnya kejayaan di kejohanan besar seperti ini sebenarnya sudah cukup membuatkan saya rasa sangat teruja dan gembira.

“Kejohanan ini juga secara tidak langsung dapat membantu saya melakukan persiapan lebih rapi bagi mengharungi satu lagi kejohanan di Kuantan pada 11 Jun ini,” katanya kepada Sukan Sinar selepas perlawanan pada Sabtu.

Untuk rekod, petinju Thailand itu menggantikan Vethar Money yang terpaksa menarik diri pada saat akhir apabila menghadapi masalah kesihatan menewaskan petinju Kelab Kuda Merah PDRM, Muhammad Salihem Mohamad.

Muhammad Salihem yang lebih dikenali Rohim Apollo tampil menggalas imej PDRM memberi tentangan sengit kepada lawannya yang jauh berpengalaman dan memiliki kelebihan fizikal sebelum akur pukulan TKO petinju dari Thailand itu di pusingan keempat.