Perdebatan hukuman untuk perasuah

Ketika ini, di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seseorang pesalah yang disabitkan dengan perbuatan suapan dan rasuah boleh dikenakan hukuman sehingga 20 tahun. - Gambar hiasan.
Ketika ini, di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seseorang pesalah yang disabitkan dengan perbuatan suapan dan rasuah boleh dikenakan hukuman sehingga 20 tahun. - Gambar hiasan.
A
A
A

APAKAH hukuman lebih berat kepada perasuah?

Itulah persoalan paling besar yang menjadi perdebatan ramai pejuang yang melawan jenayah rasuah.

Ketika ini, di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seseorang pesalah yang disabitkan dengan perbuatan suapan dan rasuah boleh dikenakan hukuman sehingga 20 tahun.

Tertuduh juga boleh dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, jarang sekali seseorang pesalah dikenakan hukuman penjara maksimum. Sebagai contoh dalam satu kes melibatkan pecah amanah bernilai RM40 juta, tertuduh dijatuhkan hukuman sekitar 10 tahun.

Bagaimanapun, kebiasaannya pesalah akan dikenakan hukuman denda nilai suapan yang maksimum iaitu lima kali ganda nilai rasuah tersebut.

Namun, sejak kebelakangan ini, timbul persoalan adakah hukuman jenayah rasuah di negara ini tidak cukup berat?

Ini kerana, perbuatan rasuah, pecah amanah, duit kopi dan menerima suapan masih tidak berkurangan.

Bahkan, bukan sedikit pemimpin, kakitangan awam, ahli perniagaan dan ramai lagi yang diheret ke mahkamah atas tuduhan rasuah.

Lantas ramai yang membandingkan hukuman di luar negara terutamanya di China yang mensabitkan pesalah rasuah dengan hukuman mati.

Ada juga yang menyifatkan hukuman mati itu tidak sesuai, setimpal dan terlalu berat.

Ramai pejuang hak asasi berpendapat hukuman mati terlalu kejam dan tidak memberi peluang kepada pesalah untuk membetulkan kesalahannya pada masa depan.

Tidak ketinggalan ada juga mencadangkan hukuman penjara seumur hidup untuk menimbulkan rasa gerun dan takut untuk seseorang terlibat dengan rasuah.

Walau sebanyak mana perbincangan, pada akhirnya persoalan mengenai hukuman lebih berat kepada penjenayah rasuah ini harus dijawab oleh kerajaan, pemimpin negara dan agensi terlibat.

Adakah ada keberanian untuk kita menggubal undang-undang lebih berat kepada perasuah atau kita sudah berpuas hati dengan hukuman sedia ada?