Tak perlu pertikai...

De Paula
De Paula
A
A
A

PENYOKONG skuad Harimau Malaya tidak perlu mempersoalkan tindakan pengendali, Kim Pan-gon menyenaraikan penyerang naturalisasi, Guilherme de Paula dalam senarai akhir 23 pemain ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, minggu depan.

Sebaliknya menurut legenda bola sepak negara Hashim Mustapha, pemilihan De Paula itu dilihat lebih kepada percaturan taktikal yang akan diterapkan Pan-gon dalam mengharungi kempen tersebut.

Malah Hashim yang pernah menyarung jersi kebangsaan sekitar tahun 1984 sehingga 1994, percaya pengendali dari Korea Selatan tersebut memiliki perancangan tersendiri apabila menyenaraikan pemain berusia 35 tahun itu.

“Secara jujur, saya pasti tentunya Pan-gon mempunyai kriteria tersendiri dalam menyenaraikan De Paula kali ini dan walaupun terdapat ramai pihak yang mengkritik pemilihan berkenaan berdasarkan prestasi pemain tersebut sebelum ini.

“Sekiranya kita perhatikan skuad Harimau Malaya tidak memiliki ramai pemain penyerang kecuali Syafiq Ahmad.

“Jadi saya percaya dengan kehadiran De Paula, secara tidak langsung akan dapat membantu pasukan seperti dalam dua perlawanan persahabatan menentang Brunei dan Hong Kong, walaupun dimasukkan sebagai pemain gantian, namun menjaringkan gol untuk pasukan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Sabtu mengumumkan senarai akhir 23 pemain yang bakal menggalas cabaran negara di kempen kelayakan yang bakal menyingkap tirai bermula 8 hingga 14 Jun depan.

Pengumuman badan induk bola sepak negara itu menyaksikan enam pemain digugurkan manakala pemain pertahanan, Syahmi Safari diberikan pelepasan kerana menghadapi masalah kesihatan, namun kesemua pemain berkenaan akan tetap berada dalam senarai bersedia sekiranya penggantian pemain perlu dilakukan.

Mengulas mengenai senarai akhir 23 pemain yang menjadi taruhan Pan-gon pada kali ini, Hashim berkata, ia merupakan pilihan terbaik apabila mengambil pasukan kebangsaan selepas melalui beberapa fasa sebelum ini.

Jelasnya, pemilihan para pemain Harimau Malaya pada kali ini juga seimbang apabila menggabungkan pemain baharu dan pemain senior bagi menggalas cabaran skuad negara.

“Bagi saya, senarai pemain kali ini dilihat sebagai antara yang terbaik dan seimbang...ada beberapa muka baharu dan lama.

“Berdasarkan kepada kedua-dua aksi persahabatan menentang Brunei dan Hong Kong baru-baru ini, kita dapat lihat bagaimana gandingan ini beraksi seterusnya memberikan impak positif.

“Apa pun, itu hanyalah perlawanan persahabatan, namun kali ini skuad negara akan berdepan perlawanan sebenar yang jauh lebih sengit dan saya harap para pemain akan memberikan aksi terbaik masing-masing di padang,” katanya.

Sementara itu, pemenang Anugerah Kasut Emas Liga Malaysia era 90-an itu juga berharap supaya jentera serangan Harimau Malaya akan lebih tajam dalam melakukan percubaan di depan pintu gol lawan dalam usaha meledak lebih jaringan selepas ini.

Katanya, jentera serangan skuad negara juga perlu lebih peka selain berani melakukan percubaan ke pintu gol bagi menghasilkan jaringan.

“Sebelum ini ramai yang persoalkan mengapa gol-gol skuad negara banyak yang terhasil daripada set-piece (penalti dan sepakan percuma). Jadi para pemain yang diberikan tanggungjawab selaku penyerang perlu sentiasa bersedia bagi menjalankan tanggungjawab menjaringkan gol,” katanya.