IADA sasar 38,057 tan metrik padi tahunan

Rohani (kiri) bersama ADUN Jelawat, Abdul Azziz Kadir (tengah) menyembur kapur cecair di sawah padi di Alor Ganu, Bachok.FOTO: SINAR HARIAN
Rohani (kiri) bersama ADUN Jelawat, Abdul Azziz Kadir (tengah) menyembur kapur cecair di sawah padi di Alor Ganu, Bachok.FOTO: SINAR HARIAN
A
A
A

BACHOK - Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin Semerak komited dalam menjamin sekuriti makanan negara menerusi usaha meningkatkan hasil pengeluaran padi tahunan berjumlah 38,057 tan metrik menjelang 2025.

Pengarah IADA Kemasin Semerak, Rohani Jusoh berkata, sasaran pengeluaran padi tahunan yang ditetapkan itu lebih tinggi berbanding 29,796 tan metrik pada tahun 2020.

Katanya, peningkatan pengeluaran padi tahunan tersebut sekali gus akan dapat meningkatkan sumbangan IADA Kemasin Semerak kepada hasil pengeluaran beras negara daripada 1.3 peratus (%) kepada 1.7%.

“IADA Kemasin Semerak merangka pelbagai strategi bagi meningkatan hasil padi di keluasan 6,900 hektar tanah sawah yang melibatkan 2,166 pesawah di daerah Bachok dan Pasir Puteh.

“Usaha termasuk mempelbagaikan jenis padi, aspek pengurusan tanah, air, sawah, penggunaan input dan amalan teknologi pertanian yang tepat bagi meningkatan produktiviti hasil padi kepada 5.5 tan metrik per hektar semusim serta hasil tahunan ditingkatkan daripada 24,733 tan metrik kepada 38,057 tan metrik,” katanya selepas Program Aplikasi Kapur Cecair bagi Kempen Peningkatan Hasil Padi IADA Kemasin Semerak di Alor Ganu, di sini pada Ahad.

ADUN Jelawat, Abdul Azziz Kadir (dua dari kiri) menyampaikan dana Program Aplikasi Kapur Cecair kepada Ketua Kumpulan Pengurusan Air Alor Ganu, Mohamed Mustafa (dua dari kanan). FOTO: SINAR HARIAN
ADUN Jelawat, Abdul Azziz Kadir (dua dari kiri) menyampaikan dana Program Aplikasi Kapur Cecair kepada Ketua Kumpulan Pengurusan Air Alor Ganu, Mohamed Mustafa (dua dari kanan). FOTO: SINAR HARIAN

Program dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelawat, Abdul Azziz Kadir.

Rohani berkata, Program Aplikasi Kapur Cecair secara semburan tersebut adalah projek rintis yang melibatkan 60 petani di kawasan sawah berkeluasan 110 hektar menerusi peruntukkan berjumlah RM76,000.

“Projek pertama ini membabitkan penanam padi di Kumpulan Pengurusan Air (KPA) Alor Ganu dan Permatang Machang di sini yang berdepan masalah bekalan air masam kelat atau pH 4 akibat berhampiran dengan hutan gelam.

“Penggunaan kapur cecair ini dijangka memberi kesan lebih cepat dalam tempoh 48 jam berbanding dua minggu bagi penggunaan kapur serbuk untuk mendapatkan air dengan skala pH 5 yang bersesuaian untuk penanaman padi seterusnya meningkatkan produktiviti hasil tanaman,” katanya.