Pengendali skuter elektrik beroperasi tanpa izin terima padah

DBKL menyita dua buah skuter elektrik yang digunakan untuk aktiviti tersebut di Dataran Merdeka, di sini tanpa kebenaran pihak tersebut.
DBKL menyita dua buah skuter elektrik yang digunakan untuk aktiviti tersebut di Dataran Merdeka, di sini tanpa kebenaran pihak tersebut.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak menyita dua skuter elektrik yang beroperasi di Dataran Merdeka, di sini pada Sabtu yang tidak mendapat kebenaran daripada pihak tersebut.

Unit Media DBKL menerusi satu kenyataan Facebook memaklumkan tindakan tersebut diambil menerusi satu rondaan oleh pihak penguat kuasa pada jam 8 hingga 10 malam pada Sabtu.

Menurutnya, tindakan diambil selaras dengan arahan kerajaan iaitu tiada kebenaran diberikan kepada aktiviti skuter elektrik di atas jalan awam kecuali di kawasan yang diwartakan.

"Dataran Merdeka merupakan jalan awam yang tidak diwartakan untuk aktiviti skuter elektrik.

"Anggota penguat kuasa DBKL yang membuat rondaan di lokasi menemukan aktiviti tanpa kebenaran ini dan bertindak menyita dua skuter elektrik yang diletakkan di atas Jalan Raja, di sini.

"Tiada kebenaran dikeluarkan oleh DBKL di Dataran Merdeka bagi tujuan aktiviti permainan skuter ini," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Unit Media DBKL memaklumkan skuter yang disita dibawa ke Stor Sitaan DBKL di Jalan Lombong, Cheras.

Pada masa sama, DBKL turut membuat laporan terhadap pengendali aktiviti skuter tersebut kerana menghalang dan mengadakan provokasi terhadap penjawat awam yang melaksanakan tugas.