Naratif 'pintu belakang' melucukan

Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kecil: Afnan
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kecil: Afnan
A
A
A

ALOR SETAR - Setiausaha politik kepada Menteri Besar Kedah, Afnan Hamimi Taib Azamudden menempelak kenyataan Pemuda UMNO Alor Setar yang menyifatkan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai 'Menteri Besar pintu belakang'.

Afnan berkata, tuduhan yang dilemparkan itu amat melucukan dan melencong jauh daripada konteks sebenar.

Beliau juga mempersoal sama ada naratif 'pintu belakang' dan 'kerusi selesa' terbabit turut ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob termasuk Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad susulan kedua-duanya juga dilantik berikutan tumbangnya sebuah kerajaan dan bukan menang atas tiket Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Agak melucukan apabila mengaitkan sentimen 'pintu belakang' dan 'kerusi selesa' ketika Muhammad Sanusi memberi respon kepada soalan wartawan berhubung desakan sesetengah pihak yang mahu PRU15 diadakan segera.

“Muhammad Sanusi menjawab soalan wartawan dengan pertanyaan, boleh menangkah?

“Jika mereka yakin partinya boleh menang, jawab sahaja, ‘ya, kami boleh menang’. Mudah sahaja, tak perlu melencong jauh dengan kaitkan kondisi 'selesa' atau 'pintu belakang',” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Timbalan Ketua Pemuda Pas itu secara sinis berkata, jawapan sebegitu kebiasaannya dikeluarkan oleh individu yang tidak yakin partinya boleh menang sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat.

Pada Sabtu, Ketua Pemuda UMNO Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri mengingatkan Muhammad Sanusi agar tidak terlalu selesa dengan jawatan disandangnya itu memandangkan ia diperoleh melalui 'pintu belakang', bukannya melalui mandat rakyat.

Menurutnya, demokrasi wajar dikembalikan kepada rakyat setelah dikhianati oleh Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 lalu.

Sehubungan itu, adalah tidak wajar untuk Muhammad Sanusi memperlekeh kemampuan parti lain yang berhasrat mahu mengadakan PRU15 lebih awal.

Mengulas lanjut, Afnan berkata, sedangkan Perdana Menteri dari parti UMNO sendiri telah menyatakan sekarang bukanlah waktu yang sesuai diadakan PRU15 ketika rakyat dibelenggu kesempitan ekonomi, peningkatan kos sara hidup dan inflasi.

“Semua pihak sama ada kerajaan, pembangkang atau rakyat perlu tumpu kepada usaha memulihkan ekonomi selain melipatgandakan usaha memenuhi keperluan rakyat.

“Bukannya berhempas pulas menyelamatkan kepentingan individu tertentu. Politik individualistik ini sudah lapuk dan menyebabkan rakyat meluat,” katanya.

Menurutnya, atas prinsip rakyat diutamakan menyebabkan kerajaan negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu berpendirian tidak akan bubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Parlimen dibubarkan tergesa-gesa sebelum cukup tempoh matang.

Sementara, Ketua Penerangan Pas Kedah, Mohd Azam Abd Samat menyifatkan kenyataan Pemuda UMNO Alor Setar ibarat menyindir pihak yang berada dalam parti sendiri.

"Kalau ada pertembungan dalam parti sendiri pun, biarlah selesai secara dalaman dan penuh ukhuwah, tak perlu goncang pokok yang rendang.

"Pokok yang menaungi rakyat dan berusaha memberikan 'teduhan' dan kemakmuran," katanya.

Sebelum itu, Muhammad Sanusi secara berseloroh mempersoalkan pihak yang sering mendesak agar PRU15 diadakan lebih awal berhubung kemampuan mereka untuk memenangi pilihan raya akan datang.

Beliau mengulangi pendirian PRU15 wajar diadakan selepas tamat penggal iaitu selepas Mei tahun hadapan.