Kursus integriti, antirasuah diwajibkan di IPT tahun depan

Norazlan menyampaikan trofi pemenang pertandingan 'Speak Up' kepada pelajar Kolej Poly-Tech Mara, Madiha Syahidah Mohd Rohani pada Majlis Konvensyen Mahasiswa Antirasuah dan Pertandingan Akhir 'Speak Up' di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya pada Sabtu. - Foto Bernama
Norazlan menyampaikan trofi pemenang pertandingan 'Speak Up' kepada pelajar Kolej Poly-Tech Mara, Madiha Syahidah Mohd Rohani pada Majlis Konvensyen Mahasiswa Antirasuah dan Pertandingan Akhir 'Speak Up' di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah telah memutuskan supaya Kursus Integriti dan Antirasuah diwajibkan di semua institusi pengajian tinggi (IPT) bermula tahun depan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata, kursus itu akan menjadi subjek yang sistematik dan berstruktur untuk pemahaman pelajar mengenai rasuah.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan membolehkan pelajar lebih peka dengan kesan rasuah yang bukan sahaja menjejaskan diri mereka tetapi juga negara.

"Belia yang sudah bekerja dikhuatiri tergoda dengan rasuah. Kursus ini juga memberikan pendedahan kepada penuntut supaya mereka tidak meminta rasuah dan tidak memberikan rasuah kepada mana-mana pihak,” katanya kepada pemberita selepas penutupan Konvensyen Mahasiswa Anti Rasuah di Universiti Malaya pada Sabtu.

Norazlan berkata, berdasarkan data terkini pihaknya, seramai 275 belia berusia lingkungan 18 hingga 30 tahun ditahan atas kesalahan rasuah yang terdiri daripada 231 lelaki dan 44 wanita sejak 2020 hingga Jumaat.

Beliau berkata, dalam tempoh sama, seramai 151 belia dituduh di mahkamah melibatkan 11 individu berusia 18 hingga 23 tahun dan 140 individu berusia 24 hingga 30 tahun dengan 85 daripadanya selesai perbicaraan serta didapati bersalah.

Antara kesalahan dilakukan adalah memberi, menerima dan lain-lain kesalahan berkaitan rasuah.

"Data yang dibentangkan ini wajar menjadi peringatan kepada para penuntut bahawa antara belia tersebut merupakan bekas pelajar IPT. Godaan rasuah wujud terutama apabila pelajar memasuki alam pekerjaan,” katanya.

Norazlan berkata, SPRM sentiasa menggalakkan kerjasama daripada pemimpin mahasiswa untuk membantu suruhanjaya itu menyebarluaskan mesej dan panduan antirasuah melalui inisiatif pendidikan antirasuah yang boleh dirangka dan dilaksanakan melalui bimbingan SPRM. - Bernama