Pesawah bersyukur, hujan 'rahmat' genangi sawah hampir kering

Siap menunjukkan petak sawah yang telah digenangi air selepas daerah itu menerima hujan sejak Jumaat.
Siap menunjukkan petak sawah yang telah digenangi air selepas daerah itu menerima hujan sejak Jumaat.
A
A
A

BAGAN SERAI - Hujan sejak Jumaat ibarat rahmat buat pesawah di daerah Kerian selepas sawah mereka hampir kering akibat cuaca panas yang melanda sejak bulan lalu.

Hujan merupakan sumber utama takungan air di kolam Bukit Merah untuk kegunaan 4,720 pesawah melibatkan tanaman padi seluas 12,400 hektar di kawasan Gunung Semanggol dan Selinsing.

Ketua Unit Pesawah Tebuk Pancur, Mohd Khairul Nizam Yusof berkata, lebih 100 pesawah di kawasannya bersyukur apabila hujan selama beberapa jam itu membuatkan petak sawah mereka digenangi air.

Menurutnya, pengairan ke sawah telah dihentikan sejak 27 Mei lalu selepas paras air empangan mencatatkan setinggi 20 kaki iaitu paras operasi pengairan dihentikan.

"Kami baru peringkat menabur padi pada April lalu amat memerlukan air untuk pokok-pokok padi. Lebih seminggu tiada air.

"Syukur dengan keberkatan menjalankan solat sunat istisqa' beramai-ramai, kami menerima hujan bermula malam pada Jumaat dan pagi ini. Petak sawah mula bertakung air," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Mohd Khairul Nizam berkata, paras air di Kolam Bukit Merah juga meningkat kepada 21 kaki setakat jam 12 tengah hari iaitu pada paras kritikal pengairan tahap 3.

"Air berkenaan merupakan sumber utama bukan sahaja kepada pesawah di Kerian malah melibatkan pengguna domestik dan perindustrian termasuk penternakan ikan arowana.

"Tidak dinafikan keadaan yang dialami pesawah ketika ini agak membimbangkan berbanding tahun-tahun sebelum ini," katanya.

Siap
Siap

Ketua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Parit Air Itam, Siap Jeraai berkata, pesawah dijangka dapat bertahan antara tiga atau empat hari selepas hujan.

"Kita sentiasa berdoa kepada tuhan dan difahamkan kerajaan negeri telah memohon untuk melakukan pembenihan awan jadi, kita harapkan petani dapat bersabar.

"Kolam Bukit Merah yang dijadikan empangan itu mula dibina pada tahun 1902 untuk kegunaan daerah Kerian dan pesawah dari kawasan Selinsing antara yang kritikal memerlukan air untuk membesarkan pokok-pokok padi sebelum dituai," katanya.

Penyusutan air kolam berkenaan turut memberi kesan kepada nelayan darat di kawasan berhampiran.

Roslan
Roslan

Nelayan darat, Roslan Ishak, 37, berkata, pendapatannya berkurang lebih 50 peratus apabila hasil tangkapannya kurang memberangsangkan.

"Lebih 50 nelayan tidak dapat memukat sebaliknya hanya merawai sahaja. Keadaan air surut menyebabkan pukat mudah terkoyak terkena kayu di dasar kolam selain merosakkan enjin dan sampan.

"Apabila air surut kami tidak boleh pergi ke anak-anak sungai. Kami boleh dapat ikan haruan, toman dan lain-lain. Sampan pun ditambat jauh sikit kerana paras air yang rendah," katanya.

Penyusutan air kolam Bukit Merah kini pada paras kritikal tahap tiga.
Penyusutan air kolam Bukit Merah kini pada paras kritikal tahap tiga.