Jelajah AKM Terengganu rekod lebih 21,000 pengunjung

Orang ramai mengunjungi program Karnival Kerjaya Jamin Kerja sempena penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Kompleks Sukan Negeri Terengganu pada Sabtu. Foto Bernama
Orang ramai mengunjungi program Karnival Kerjaya Jamin Kerja sempena penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Kompleks Sukan Negeri Terengganu pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA NERUS - Penganjuran siri keempat Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Terengganu berjaya menarik kehadiran pengunjung 21,745 Keluarga Malaysia setakat jam 11 pagi Ahad.

Sekretariat Program Jelajah AKM dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 28 reruai kaunter perkhidmatan telah mengambil bahagian pada siri ini melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri yang memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia.

Menurutnya, sebanyak 13 kaunter perkhidmatan bergerak juga disediakan antaranya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ Mobile), Pusat Keluarga Bergerak (PKB), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

"Selain itu, penglibatan 110 gerai jualan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan program padanan perniagaan dalam siri jelajah ini turut merancakkan aktiviti ekonomi terutamanya bagi usahawan tempatan. Sebanyak RM4 juta jualan berjaya direkodkan sehingga 10 pagi tadi," katanya.

Mengulas lanjut, Jelajah AKM Terengganu melalui Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia telah bekerjasama dengan 89 syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan sebanyak 13,431 kekosongan jawatan.

"Seramai 2,771 orang peserta telah dipanggil menghadiri temu duga, 1,476 orang telah berjaya ke tapisan akhir dalam jawatan yang dipohon dan 454 orang telah berjaya ditawarkan pekerjaan," kata kenyataan itu.

Penganjuran jelajah ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menyumbang kepada rakyat melalui penganjuran program yang berfokuskan kepada kemudahan perkhidmatan secara langsung sekali gus menjamin keharmonian serta kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia.

"Siri jelajah ini akan diteruskan di seluruh negara dengan segmen perkhidmatan yang sama bagi memenuhi keperluan rakyat dan membantu penghayatan terhadap pengertian AKM yang menitikberatkan nilai Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran," kata kenyataan itu.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertindak selaku kementerian peneraju bagi jelajah pada kali ini yang dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu selaku tuan rumah, dan Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) selaku penyelaras utama program.

Jelajah AKM Terengganu yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah kesinambungan daripada kejayaan program 100 Hari AKM di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 hingga 12 Disember 2021 lalu dan merupakan lokasi keempat selepas Johor, Perlis dan Sabah.

Majlis Perasmian Penutupan telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut dihadiri Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. - Bernama