'Cukuplah nak buat khemah lain lagi' - Mohd Shafie

Mohd Shafie pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Warisan di Kota Kinabalu pada Sabtu.
Mohd Shafie pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Warisan di Kota Kinabalu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyatakan pendirian beliau bahawa 'khemah besar' bukan penyelesaian dalam pemerintahan negara.

Katanya, negara memerlukan satu kepimpinan pemerintahan yang boleh meletakkan rakyatnya bersatu padu dan masalah yang dihadapi rakyat dapat diatasi.

"Saya sudah nyatakan kita tidak ada nak khemah-khemah besar sebagai penyelesaian.

"Negara ini memerlukan satu kepimpinan pemerintahan yang boleh meletakkan negara ini bukan hanya masyarakatnya disatupadukan tetapi negara ini juga dilepaskan daripada belenggu pembayaran hutang yang begitu banyak, pengangguran yang begitu banyak," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Warisan di Ibu Pejabat Warisan, Kolombong di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad yang menolak kerjasama dengan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohd Shafie turut mengingatkan bahawa sebelum ini pernah menyertai banyak khemah besar dengan pelbagai pemimpin politik namun tidak berhasrat untuk mengulanginya lagi.

"Kadang-kadang itu kita menggunakan kaedah khemah besar, khemah sana, khemah sini, berapa khemah saya sudah masuk. Khemah Barisan Nasional (BN), khemah Pakatan Harapan (PH), cukuplah nak buat khemah lain lagi," katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai mesyuarat yang dihadirinya, beliau menegaskan pada tahun ini perlu diadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Warisan.

"Kita telah memohon kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) beberapa bulan lalu untuk tangguhkan AGM dan pada 26 Mei lalu, pihak RoS telah menolak mesyuarat agung kita dan menyatakan bahawa pemilihan agung kita perlu diadakan.

"Jadi mesyuarat tadi kita perincikan, maklumkan kepada majlis tertinggi dan setiausaha agung akan edarkan surat pekeliling untuk membolehkan supaya perjalanan mesyuarat parti ini dilakukan pada tahun ini juga selaras dengan apa yang disarankan oleh RoS dan juga mengikut perlembagaan yang harus diadakan pada tahun ini.

"Kita telah putuskan supaya mulakan mesyuarat cawangan-cawangan mulai Jun ini dan susulan daripada itu mesyuarat bahagian-bahagian dan lepas itu mesyuarat sayap-sayap.

"Selepas itu AGM parti yang dijangka selesai Julai dan pada awal Ogos kemungkinan kita boleh adakan mesyuarat agung parti kita," katanya.