[VIDEO] 'Khemah besar ok tapi tanpa Anwar, Muhyiddin'

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kepentingan kerjasama antara pembangkang di bawah ‘khemah besar’ namun menolaknya kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu menyifatkan kedua-dua pemimpin itu mempunyai agenda menjaga kepentingan sendiri tanpa meletakkan rakyat sebagai keutamaan.

“Iya, kalau boleh, adakan khemah besar, pasal negara kita ini menghadapi banyak masalah, terutamanya orang Melayu, orang Melayu banyak masalah.

“Tetapi kita kena cari orang yang lurus, tidak boleh kalau ada orang masuk politik nak cari duit apa semua. Sorrylah,” katanya memetik Utusan Malaysia.

Jelas Dr Mahathir, Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) misalnya, beberapa kali membuat pengumuman untuk menjadi Perdana Menteri, namun tidak berjaya kerana tiada sokongan.

Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir menjelaskan, buat masa ini tiada sebarang perbincangan ke arah mewujudkan kerjasama khemah besar dengan mana-mana pihak.

Bagaimanapun, terdapat beberapa parti politik yang kini sedang diteliti untuk dilihat asas perjuangannya sama ada selari dengan Pejuang atau sebaliknya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan, Anwar melakukan kesilapan besar sehingga membawa kejatuhan Pakatan Harapan (PH) pada 2020 menyebabkan UMNO dan BN kembali berkuasa.

“Kalau tak sabit dia (Anwar), saya hari ini masih lagi jadi Perdana Menteri. Pasal bila saya letak jawatan, Agong mahu setiap 220 ahli Parlimen tulis siapa yang mereka pilih. Saya fikir PH akan letak nama sayalah, pasal saya daripada PH.

“Tetapi Anwar kata dia ada banyak sokongan, tapi dia orang (PH) bagi kepada Anwar 92 undi, saya dapat 62, bukan daripada PH, daripada parti lain orang lain, saya tak tahu siapa,” katanya.

Dr Mahathir memberitahu beliau masih lagi menjadi Perdana Menteri jika mendapat 92 undi daripada PH, namun pada akhirnya beliau dan Anwar sendiri kalah.