Tewaskan Perancis kejayaan besar Denmark

Andreas Cornelius (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan-rakan sepasukan. - Foto EPA
Andreas Cornelius (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan-rakan sepasukan. - Foto EPA
A
A
A

KEMENANGAN 2-1 ke atas Perancis dilihat satu kejayaan besar buat Denmark dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA kali ini.

Pengendali Denmark, Kasper Hjulmand berkata, kemenangan berkenaan terhasil daripada kerja keras kesemua pemain yang dilihat telah memberikan segala-galanya pada pertemuan berkenaan.

“Kemenangan ini merupakan kejayaan besar dan kami rasa bangga kerana berjaya menewaskan salah satu gergasi bola sepak dunia.

“Kemenangan ini juga khabarnya diraikan oleh seluruh rakyat Denmark dan ini membuatkan kami lebih gembira.

“Ternyata segala perancangan yang disusun sejak sekian lama menjadi dan kali ini ia memberikan berita gembira buat semua orang di Denmark,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, pemain gantian Andreas Cornelius muncul wira Denmark apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-68 dan 88 bagi menafikan gol pendahuluan jaringan penyerang Perancis, Karim Benzema pada minit ke-51.

Mengulas lanjut, Cornelius berkata, dia hanya melaksanakan tanggungjawab selaku penyerang dan menjaringkan gol buat pasukannya.

Namun, dia sama sekali tidak menyangka jaringannya membantu Denmark meraih tiga mata.

“Kedua-dua jaringan itu sememangnya cukup bermakna dan ia memberikan berita gembira kepada semua rakyat Denmark.

“Kita akan terus melakukan yang terbaik bagi mencatatkan lebih banyak kejayaan selepas ini,” katanya.