'Ramai masih keliru larangan merokok'

 Ean Yong Hian Wah
Ean Yong Hian Wah
A
A
A

SHAH ALAM - Terdapat kekeliruan berhubung larangan merokok yang dikuatkuasakan Kementerian Kesihatan meskipun ia sudah dilaksanakan lebih tiga bulan sejak 1 Januari lalu.

Timbalan Pengerusi DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah berkata, kekeliruan itu termasuk jarak tiga meter di mana perokok tidak dibenarkan menghisap rokok dan di mana mereka dibenarkan merokok.

“Saya sokong sepenuhnya dasar larangan merokok tetapi terdapat beberapa isu yang perlu ditangani kerajaan dengan teliti.

“Kementerian sepatutnya mengeluarkan senarai kawasan di mana perokok dibenarkan menghisap rokok,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga ADUN Seri Kembangan berkata, setelah lebih tiga bulan dasar dilaksanakan, pihaknya menerima pelbagai reaksi daripada rakyat.

Katanya, antara cadangan boleh diperhalusi kementerian adalah membenarkan sudut merokok atau bilik khas di premis makanan bagi golongan perokok.

“Saya gesa menteri dan timbalan menteri kesihatan semak semula dasar sebelum bulan Jun dan keluarkan kenyataan jelas mengenai larangan itu.

“Ia berikutan selepas tempoh enam bulan, pesalah akan dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara dua tahun. Ketika ini, pesalah hanya dikenakan amaran lisan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, bermula 1 Januari lalu, selain kawasan yang sedia maklum seperti tempat awam dan bangunan kerajaan, arahan larangan merokok membabitkan semua restoran dan premis makanan termasuk warung makanan di tepi jalan.

Larangan merokok itu menyatakan perokok dibenarkan menghisap rokok sekurang-kurangnya tiga meter daripada premis kedai makan.

Perokok yang ditahan di kawasan larangan akan didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan menggunakan pendekatan memberi amaran lisan dan pendidikan terlebih dahulu kepada perokok sepanjang enam bulan pertama pelaksanaan dan hanya mengeluarkan saman selepas tempoh itu.