Bangga iring Tunku Abdul Rahman

Kenangan Ali bersama kereta peronda polis.
Kenangan Ali bersama kereta peronda polis.
A
A
A

JASA dan pengorbanan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebagai individu penting membebaskan negara untuk mencapai kemerdekaan tidak mungkin dapat dilupakan oleh rakyat Malaysia.

Perdana Menteri pertama yang digelar Bapa Kemerdekaan itu cukup disegani dan meninggalkan impak dalam kehidupan rakyat kerana sikap prihatinnya.

Bukan sahaja rakyat, malah individu yang pernah berkhidmat dengan Tunku Abdul Rahman juga berasa bertuah kerana dapat bersama beliau.

Bekas anggota polis, Koperal Ali Salleh, 93, berkata, beliau berasa bangga kerana pernah berkhidmat sebagai salah seorang polis pengiring kepada Tunku Abdul Rahman.

"Tunku Abdul Rahman merupakan pemimpin berprinsip dan tegas dalam membangunkan Malaysia selepas mencapai kemerdekaan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pejabat Bekas Polis Malaysia Cawangan Ampang di sini baru-baru ini.

Ali memberitahu, masih segar dalam ingatannya apabila Tunku Abdul Rahman memaklumkan kepadanya bahawa beliau terharu dengan semangat rakyat yang mahu kemerdekaan tanah air.

"Rakyat ketika itu tidak kira kaum dan agama menghulurkan apa yang mereka mampu. Ada yang sanggup beri gelang emas untuk membiayai perjalanan Bapa Kemerdekaan itu ke London.

"Rakyat mahu menyumbang sesuatu demi kemerdekaan tanah air tercinta," ujarnya.

Ali (dua kiri) bergambar bersama rakan-rakan bekas polis.
Ali (dua kiri) bergambar bersama rakan-rakan bekas polis.

Ali berkata, beliau difahamkan rombongan pertama, Tunku Abdul Rahman bersama beberapa pemimpin telah pergi ke London untuk berbincang bagi menuntut kemerdekaan, tetapi tidak beroleh kejayaan.

"Pada tahun 1956, Tunku sekali lagi mengetuai rombongan ke London bersama empat orang wakil raja-raja Melayu dan empat orang wakil Parti Perikatan untuk berbincang dengan kerajaan British mengenai Kemerdekaan Tanah Melayu.

"Rombongan itu berjaya meyakinkan kerajaan British supaya menetapkan tarikh kemerdekaan iaitu pada 31 Ogos 1957," katanya.

Beliau turut ditugaskan menjadi pengiring Tunku Abdul Rahman dalam memudahkan perjalanannya untuk berjumpa dengan Tun Tan Cheng Lock yang juga pengasas dan Presiden pertama MCA.

"Beliau (Cheng Lock) merupakan seorang cendekiawan, ahli perniagaan, ahli politik yang patriotik serta menyokong dan menggalakkan perpaduan kaum.

"Cheng Lock telah bekerjasama dengan Tunku Abdul Rahman dan kaum lain untuk memperjuangkan kemerdekaan," ujarnya.

Tambahnya, jerit perih perjuangan rakan sepasukan memastikan negara bebas daripada cengkaman penjajah berbaloi apabila tiba 31 Ogos 1957.

"Saya dapat menyaksikan sendiri bendera Union Jack diturunkan pada malam 30 Ogos 1957 dan mendengar laungan ‘Merdeka’ pada keesokannya oleh Tunku Abdul Rahman," ujarnya.

MAHU JUMPA NAJIB

Selain Tunku Abdul Rahman, Ali juga berpeluang menjadi polis pengiring kepada Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

"Tugas saya pada ketika itu adalah memudahkan urusan rasmi dan perjalanan Bapa Pembangunan untuk sampai destinasi yang dituju," katanya.

Menurutnya, Tun Abdul Razak merupakan pemimpin yang berjiwa besar serta mendengar permasalahan rakyat.

"Tun Abdul Razak banyak menabur sumbangan khasnya dalam pembangunan negara serta merangka program pembangunan luar bandar.

"Beliau berusaha menangani masalah kemiskinan serta menitik beratkan penambahan prasarana asas luar bandar dan mempertingkatkan produktiviti pertanian," katanya.

Ali dalam pada itu turut meluahkan hasrat ingin berjumpa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya mengenali Tun Rahah Mohamed Noah yang juga ibu kepada Perdana Menteri keenam ketika bertugas sebagai polis pengiring pada ketika itu. Jadi besar harapan saya jika dapat bertemu anaknya yang juga bekas Perdana Menteri itu," ujarnya.

BAKTI KEPADA NEGARA

Mengimbas kembali sebelum terlibat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ali berkata, beliau merupakan salah seorang anggota Special Constabulary (SC).

"Pasukan SC berperanan melakukan tugas-tugas kawalan seperti melindungi ladang getah, lombong dan kilang di kawasan luar bandar dan membuat kawalan di kawasan berisiko menjadi ancaman komunis," ujarnya.

Ali berkata, insiden melihat kekejaman askar Jepun membuatkan dia ingin menjadi anggota polis.

"Saya pernah lihat askar Jepun me-ngikat serta mendera salah seorang saudara. Mujur saya sempat melarikan diri apabila tentera Jepun itu mengacu senapang ke arah saya.

"Insiden itu menjadi pemangkin semangat saya untuk menjadi polis dan pada 1 Mac 1950, saya secara rasmi menjadi anggota PDRM," katanya.

Pada awal perkhidmatannya dalam PDRM, Ali tinggal di sebuah kediaman anggota polis di Jalan Gurney, Kuala Lumpur (dulunya Jalan Semarak dan kini Jalan Sultan Yahya Petra).

"Pada ketika itu, saya menjadi jurulatih khususnya dalam latihan kawad dan pemanduan kenderaan polis di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, saya kemudian berhasrat mahu bertugas di lapangan," katanya.

Ali menunjukkan Pingat Jasa Pahlawan Negara yang dianugerah kepadanya.
Ali menunjukkan Pingat Jasa Pahlawan Negara yang dianugerah kepadanya.

DIUGUT KOMUNIS

Ali memberitahu, beliau kemudian dipindahkan ke Balai Polis Ayer Keroh, Melaka.

"Pada ketika itu masih lagi darurat di Tanah Melayu (1948-1960) selepas tentera Jepun menyerah kalah kepada British pada 15 Ogos 1945.

"Anggota Parti Komunis Malaya telah mengambil kesempatan keluar dari hutan dan bertindak ganas," katanya.

Ali berkata, beliau antara pegawai polis kanan yang ditugaskan paling lama di balai polis berkenaan.

"Kebiasaannya, setiap pegawai polis kanan di balai tersebut ditukarkan dalam tempoh tiga bulan, namun ketua polis daerah mahu tempoh perkhidmatan saya dilanjutkan selama dua tahun untuk membantunya mengawal keselamatan penduduk daripada ancaman komunis," katanya.

Kata Ali, beliau pernah berjumpa dengan salah seorang penghulu yang menjadi tali barut komunis.

"Saya bersama penghulu berkenaan berjumpa dengan beberapa individu yang lengkap beruniform komunis di sebuah ladang.

"Mereka mengugut untuk membunuh saya serta ahli keluarga, namun saya berjaya memujuk serta berbincang dengan kumpulan komunis itu supaya tidak melakukan ancaman kepada penduduk di kawasan itu," katanya.

Ketua Persatuan Bekas Polis Malaysia Cawangan Ampang, Sarjan Zanol Aabidin Ramli melihat pingat yang diterima oleh Ali.
Ketua Persatuan Bekas Polis Malaysia Cawangan Ampang, Sarjan Zanol Aabidin Ramli melihat pingat yang diterima oleh Ali.

SEMANGAT PATRIOTISME

Sementara itu, Ali yang bersara pada tahun 1982 berpendapat, golongan muda perlu mempunyai semangat patriotisme.

"Kemerdekaan yang kita kecapi bukan dicapai dalam masa singkat. Sebaliknya, berlangsung dalam suasana dramatik dan tidak harus dilupakan.

"Semangat patriotisme seharusnya jadi pendorong setiap rakyat yang cintakan negara untuk bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh bagi membangun dan memajukan negara tercinta," katanya.