Kemegahan negara yang berbeza

Hagia Sophia telah dimasukkan ke dalam Senarai Warisan Dunia UNESCO.
Hagia Sophia telah dimasukkan ke dalam Senarai Warisan Dunia UNESCO.
A
A
A

SELEPAS kali pertama melawat Istanbul pada tahun 2010, saya telah menulis: “Hagia Sophia tak seperti bangunan lain yang pernah saya masuki, seni kaligrafi Islam gergasi hanya beberapa meter dari mozek purba maharaja dan permaisuri Byzantine, mengapit gambar Jesus, yang baru dibongkar.

“Hagia Sophia adalah sebuah gereja bermula tahun 360 sehingga tahun 1453 apabila Sultan Mehmed II al-Fatih menukarkannya kepada masjid sehinggalah Atatürk menukarkannya menjadi sebuah muzium pada tahun 1935.

“Keseluruhan konsep ini merupakan sesuatu yang tak terduga kepada rakyat Malaysia. Bayangkan, sebuah kuil Hindu Langkasuka ditukarkan menjadi sebuah masjid dan terus wujud sehingga ke hari ini.”

Malah, di India terdapat beberapa buah masjid yang masih wujud hari ini, dahulu merupakan kuil-kuil Hindu (atau berada di atas tapak kuil Hindu) menjadi satu topik perbalahan pada hari ini tatkala polarisasi agama mula diperkatakan.

Pada tahun 2020, dalam satu kes yang mendapat liputan meluas berita antarabangsa, Turkish Council of State (Mahkamah Pentadbiran Tertinggi Turkiye) mengisytiharkan bahawa Ayasofya merupakan wakaf Sultan Mehmed II dan oleh itu, pertukarannya menjadi muzium pada tahun 1935 adalah tidak sah.

Maka, keputusan yang dilakukan oleh Presiden Mustafa Kemal Atatürk telah ditarik semula oleh Presiden Recep Tayyip Erdogan. Ketika itu kegusaran dizahirkan kerana kesan keputusan tersebut ke atas hasil kerja seni keagamaan yang terdapat pada Ayasofya terutamanya kerana bangunan itu termasuk dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO iaitu ‘Kawasan Bersejarah Istanbul’.

Saya mengambil keputusan untuk melihatnya sendiri ketika singgah sebentar di Istanbul dalam perjalanan pulang dari Sarajevo.

Saya bertuah kerana mendapat tempat di saf kedua walaupun terdapat permintaan yang sangat tinggi untuk menyertai solat berjemaah di sana – bukan hanya pada hari Jumaat sahaja – setelah bersusah payah mencelah di sebalik pelancong yang amat ramai.

Perbezaan pertama yang saya dapati sejak kali pertama lawatinya adalah Ayasofya kini sudah diletakkan permaidani kecuali pada kawasan tertentu yang mempunyai keberertian Byzantium (Rom Timur).

Tetapi, selain daripada itu mozek pada silingnya masih kelihatan. Ketika waktu solat – hanya pada bahagian hadapan masjid – gambar utama Virgin Mary memegang sang bayi Jesus ditutup dengan sehelai kain. Walaupun begitu, jika kita melihat tegak ke atas, kita masih boleh nampak gambar tersebut melalui ruang yang ada di celah-celah kain tersebut!

Di bahagian dewan utama, gambar wajah Seraphim (malaikat mengikut ajaran Kristian dan Yahudi) kekal tidak bertutup berdekatan dengan kaligrafi nama Nabi Muhammad SAW.

Hal itu sudah tentu tidak akan dapat diterima oleh ramai Muslim di Malaysia (sebagai contoh, untuk sebahagian yang mempunyai masalah dengan lambang salib di sekolah-sekolah mubaligh lama), tetapi pemandu pelancong Turkiye saya yang beragama Islam – seorang pelajar yang berhijab – yang membawa saya melihat kawasan sekeliling berasa bangga satu keajaiban sejarah ini berkekalan, di samping menjadi rumah ibadat pada hari ini.

Saya berasakan perasaan bangga terhadap negara, di samping keyakinan beragama yang sama apabila melawati Piramid Giza di Mesir dan Borobudur di Indonesia. Tiada perasaan tidak berkeyakinan langsung dalam kalangan orang-orang Islam ini bagi menghargai sejarah zaman pra-Islam negara mereka.

Di Jordan dan juga kini di Arab Saudi, kawasan bersejarah kaum Nabatean iaitu Petra dan al-Hijr dipelihara dengan rasa bangga. Mungkin pada suatu hari nanti, kita juga akan menghargai Lembah Bujang dengan cara yang sama.

Hagia Sophia telah dimasukkan ke dalam senarai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Hagia Sophia telah dimasukkan ke dalam senarai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

GABUNG BUDAYA, AGAMA

Masyarakat kita lebih mahir dalam menggabungkan budaya dan agama yang dapat dilihat melalui tradisi rumah terbuka hari raya. Saya sempat pulang untuk menikmati beberapa rumah terbuka terpilih. Rumah terbuka ini terbahagi kepada empat kategori.

Jenis pertama adalah rumah terbuka keluarga dan rakan-rakan, selalunya diadakan pada minggu pertama Syawal. Di sini terdapat juadah tradisional, kanak-kanak mengutip duit raya dan soalan bertalu-talu daripada emak saudara – “Bila nak kahwin?”

Jenis kedua adalah ‘rumah terbuka secara tertutup’ oleh syarikat dan organisasi, khusus untuk kakitangan yang disertakan dengan ucapan oleh Ketua Pegawai Eksekutif.

Sudah tentu terdapat juga rumah terbuka oleh syarikat korporat yang besar, dilengkapi dengan warung-warung makanan untuk memastikan aliran pengunjung yang datang, sekali gus bermaksud peluang melakukan rangkaian. Malah, banyak perjanjian atau tawaran pekerjaan berpunca daripada rumah terbuka syarikat korporat.

Namun, masih ada rumah terbuka yang lebih memberi kesan di mana rasa optimisme yang segar untuk masa hadapan lebih baik dapat memberikan motivasi berbanding perjanjian korporat.

Di Pusat Aktiviti Kanak-Kanak milik Yayasan Chow Kit (YCK), kanak-kanak membuat persembahan hari raya untuk merayakan ulang tahun kelahiran pengasas pusat tersebut iaitu Datuk Hartini Zainudin. Penubuhan YCK dan semangat aktivisme beliau yang berterusan telah menaikkan status kanak-kanak kurang bernasib baik di seluruh negara.

Ramai yang mengetahui tentang PAKK dan KL Krash Pad kami tetapi di rumah selamat untuk kanak-kanak berisiko kami, nyanyian sepenuh hati serta lukisan tentang kehidupan yang jauh lebih baik daripada kehidupan mereka jalani menunjukkan bahawa dengan kepimpinan kuat, wawasan dan minda terbuka, Malaysia masih mampu menawarkan harapan dan peluang kepada generasi akan datang.

Benarlah, di peringkat kebangsaan, hal itu mampu menjadi kenyataan biarpun tanpa bangunan semegah Ayasofya.

* Tunku Zain Al-‘Abidin merupakan Pemegang Amanah Yayasan Chow Kit