LHDN mampu tangani ketirisan hasil di bawah pindaan RUU

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) mampu menangani isu ketirisan hasil melalui pengenalan peruntukan baharu di bawah pindaan Rang Undang-Undang Kewangan 2021, kata Kementerian Kewangan (MoF) hari ini.

Kementerian itu dalam Penyata pra-Belanjawan 2023 berkata, pindaan itu memberi kuasa kepada LHDN untuk meminta maklumat akaun bank pembayar cukai daripada institusi kewangan bagi tujuan membuat permohonan kepada mahkamah untuk mendapatkan perintah ‘garnishee’.

"Juga, bayaran tertentu yang dibuat kepada ejen pemastautin, peniaga atau pengedar yang merupakan individu dan yang telah menerima lebih daripada RM100,000 akan dikenakan cukai pegangan 2.0 peratus," tambahnya.

Di bawah Belanjawan 2022, beberapa inisiatif telah diperkenalkan bagi membendung unsur ketirisan hasil atau amalan berbahaya yang berkaitan dengan pengelakan cukai rentas sempadan dan penggandaan bukan cukai.

Inisiatif-inisiatif ini termasuk penghapusan pengecualian cukai ke atas pendapatan sumber asing yang diterima di Malaysia oleh pemastautin cukai Malaysia, pengenalan Sijil Pematuhan Cukai sebagai prasyarat bagi penender untuk mengambil bahagian dalam perolehan kerajaan dan pelaksanaan Nombor Pengenalan Cukai. - Bernama