Mayat nelayan lemas ditemui, seorang lagi masih hilang

Mayat nelayan yang ditemui lemas pada tengah hari Jumaat.
Mayat nelayan yang ditemui lemas pada tengah hari Jumaat.
A
A
A

PONTIAN - Seorang daripada dua nelayan yang dilaporkan hilang ketika menangkap ikan di kawasan perairan Ayer Baloi di sini pada Khamis, ditemukan lemas pada tengah hari Jumaat.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, mayat Khalid Mohammad, 71, ditemukan pada jam 12.45 tengah hari manakala seorang lagi nelayan, Abu Bakar Mohammad, 51, masih hilang.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan agensi penyelamat sebaik menerima maklumat berhubung kehilangan dua nelayan itu.

Mereka dipercayai turun ke laut dari Jeti Ayer Baloi pada jam 3 petang Khamis.

Mayat Khalid Mohammad ditemui oleh nelayan tempatan di pesisir pantai.

"Mayat mangsa dibawa ke Jeti Ayer Baloi dan dihantar ke Hospital Pontian untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Menurut Mohammad Shofee, operasi SAR seorang lagi mangsa masih dilakukan dan sebarang maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Operasi SAR itu turut dibantu polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Jabatan Bomba dan Penyelamat ( JBPM) serta nelayan tempatan.