Tiga bandar di AS umum kes pertama disyaki cacar monyet

Bandar Los Angeles, Chicago dan Philadelphia merekodkan kes pertama disyaki cacar monyet. Foto 123RF
Bandar Los Angeles, Chicago dan Philadelphia merekodkan kes pertama disyaki cacar monyet. Foto 123RF
A
A
A

WASHINGTON - Bandar Los Angeles, Chicago dan Philadelphia telah merekodkan kes pertama disyaki cacar monyet, dan semua sampel sudah dihantar ke Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) untuk pengesahan, lapor Agensi Anadolu.

Kes di Los Angeles berpunca daripada seorang penduduk yang baru-baru ini mengembara dan mempunyai kontak rapat dengan satu kes, menurut jabatan kesihatan awam bandar itu.

Pesakit itu mengalami gejala dan kini dikuarantin.

Jabatan itu sedang menyiasat dan menjalankan pengesanan kontak rapat tetapi mengekalkan risiko penularan pada tahap "sangat rendah."

Sementara itu, Agensi kesihatan Chicago memaklumkan satu kes disyaki cacar monyet dikesan pada seorang individu yang baru pulang dari Eropah.

"Kes itu disifatkan terpencil dan tiada tanda-tanda risiko penyebaran virus secara meluas pada ketika ini, kerana cacar monyet tidak mudah merebak seperti virus Covid-19," menurut agensi itu dalam satu kenyataan.

Philadelphia pula enggan mendedahkan maklumat mengenai pesakit "bagi melindungi privasi rakyatnya," tetapi berkata individu itu "sedang bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan untuk mengenal pasti kontak rapat."

"Ancaman cacar monyet kepada rakyat Philadelphia adalah sangat rendah.

"Saya percaya bahawa penduduk dan pelancong harus rasa selamat untuk melakukan semua perkara menyeronokkan yang ditawarkan Philadelphia, dengan mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya," kata pegawai Dana Perella.

CDC sebelum ini mengesahkan sebanyak 21 kes cacar monyet telah dikesan di 11 negeri, termasuk empat di California dan New York.

Jumlah kes tertinggi membabitkan golongan gay, dan biseksual. - Bernama