Tingkat fasiliti JPJ, elak pengguna beratur lama

Hannah (gambar kecil) menuntut supaya perkhidmatan JPJ ditambah baik kerana pengguna terpaksa beratur panjang hingga ke lorong belakang bangunan.
Hannah (gambar kecil) menuntut supaya perkhidmatan JPJ ditambah baik kerana pengguna terpaksa beratur panjang hingga ke lorong belakang bangunan.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Kutipan hasil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur yang mencecah RM450 juta setahun perlu digunakan untuk menambah baik fasiliti agensi itu bagi memudahkan urusan pengguna.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, lebih banyak kaunter dan pejabat cawangan di sekitar Lembah Klang perlu dibuka bagi menampung jumlah pengguna yang semakin meningkat.

Menurutnya, setiap hari pejabat cawangan JPJ Kuala Lumpur dan beberapa lokasi lain di Selangor sesak dengan orang ramai yang terpaksa beratur panjang dan mengambil masa berjam lamanya untuk melakukan pelbagai urusan.

"Saya menggesa supaya hasil ini digunakan untuk menambah fasiliti. Buat masa ini hanya empat pejabat cawangan JPJ di Kuala Lumpur iaitu di Wangsa Maju, Bandar Sri Permaisuri, Bandar Menjalara dan pejabat JPJ Mini UTC Kuala Lumpur di Pudu Sentral selain tujuh pejabat cawangan JPJ di Selangor.

"Jumlah ini tidak mencukupi untuk memberi khidmat kepada populasi Lembah Klang yang begitu padat. Saya sendiri telah melawat cawangan Bandar Menjalara di Segambut dan melihat barisan menunggu yang terlalu panjang sehingga ke lorong belakang, " katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong juga diminta menambah baik sistem sokongan dan menggunakan alatan atau kemudahan terkini yang dapat membantu meningkatkan kecekapan perkhidmatan JPJ.

"Ini bagi memastikan perkhidmatan dalam talian berjalan dengan efektif dan menyeluruh.

"Masalah yang sering mengganggu urusan seperti mesin Percetakan Nasional (PKN) selalu rosak selain sistem tergendala akibat jumlah capaian internet yang tidak stabil," katanya.

Jelasnya, masalah tersebut menyebabkan orang ramai terpaksa beratur panjang dan menunggu giliran lebih lama untuk mendapatkan perkhidmatan di kaunter yang berkurangan akibat gangguan berkenaan.

"Sebagai agensi yang mengutip hasil tinggi setiap hari, tidak wajar bagi rakyat membazirkan masa dalam barisan menunggu semata-mata untuk memberikan hasil kepada kerajaan.

"Pastikan tenaga kerja dan peruntukan pejabat yang mencukupi disalurkan di Lembah Klang dengan segera terutama di cawangan Menjalara dalam kawasan Parlimen Segambut," katanya.