MBSJ tangguh pelaksanaan tempat letak kereta zon 2 jam

MBSJ menangguhkan pelaksanaan tempat letak kereta zon 2 jam yang dijadualkan bermula 1 Jun lalu.
MBSJ menangguhkan pelaksanaan tempat letak kereta zon 2 jam yang dijadualkan bermula 1 Jun lalu.
A
A
A

SUBANG JAYA - Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menangguhkan pelaksanaan tempat letak kereta zon 2 jam yang dijadualkan bermula 1 Jun lalu.

Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MBSJ, Muhammad Azli Miswan berkata, penangguhan itu disebabkan pindaan Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) (Majlis Bandaraya Subang Jaya) (Pindaan) 2022 masih belum diluluskan oleh kerajaan negeri dan belum diwartakan.

Menurutnya, sistem itu dijangka mampu mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di kawasan tumpuan serta parkir bertindih.

"Cadangan pelaksanaan adalah di empat lokasi kawasan komersial pentadbiran MBSJ iaitu Zon Subang Jaya (Jalan USJ 10 dan Jalan SS15) serta Zon Puchong (Jalan Bandar Puteri dan Jalan Kenari).

"Sebanyak 1,922 petak daripada 10,027 petak tempat letak kereta di semua kawasan komersial tersebut telah dimohon untuk diwartakan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, MBSJ juga telah melaksanakan semua urusan penyediaan infrastruktur seperti mengecat petak, pemasangan papan tanda dan penyelarasan aplikasi tempat letak kereta pintar (Smart Parking).

Tempat letak kereta zon dua jam membawa maksud had masa maksimum dua jam diberikan kepada setiap pengguna dan selepas tamat tempoh itu pemilik kenderaan perlu mengalihkan kenderaan mereka untuk petak itu digunakan oleh pengguna lain.