Sudah nampak aura Pan-gon

Mungkin masih terlalu awal untuk menaruh harapan tinggi kepada Pan-gon yang baru sahaja membimbing pasukan tidak sampai setahun.
Mungkin masih terlalu awal untuk menaruh harapan tinggi kepada Pan-gon yang baru sahaja membimbing pasukan tidak sampai setahun.
A
A
A

HARIMAU Malaya mendapat momentum positif menjelang aksi pertama kelayakan Piala Asia 2023 menentang Turkmenistan, 8 Jun ini selepas menewaskan Hong Kong 2-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Rabu.

Kemenangan itu juga melengkapkan aksi persahabatan skuad negara sebelum perlawanan kelayakan tersebut dengan empat kemenangan dan satu kekalahan.

Tumpuan sudah tentu terarah kepada pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon yang baharu dilantik Januari lalu dengan pakar taktikal dari Korea Selatan itu mengundang pelbagai persepsi dalam kalangan peminat bola sepak negara.

Pengendali berusia 53 tahun tersebut memulakan langkah cemerlang bersama Harimau Malaya dengan mencatatkan kemenangan ke atas pasukan yang menduduki di ranking ke-129 dunia iaitu Filipina dalam aksi persahabatan saingan Siri Tiga-Negara FAS yang berlangsung di Singapura Mac lalu.

Namun, skuad negara tewas kepada pasukan tuan rumah 1-2 sebelum menewaskan kelab Jepun yang beraksi dalam Liga Singapura, Albirex Niigata 3-0.

Dalam dua aksi persahabatan terakhir di Bukit Jalil, Harimau Malaya menundukkan Brunei 4-0 selain ke atas Hong Kong untuk menjanjikan persiapan yang positif menjelang pusingan kelayakan.

Jika dilihat kepada keseluruhan perlawanan persahabatan terutama menentang Hong Kong itu, idea dan taktikal Pan-gon jelas ketara dengan skuad negara lebih ofensif terutama dalam merencana serangan ke gawang lawan.

Ramuan pemain yang dipilih dalam kesebelasan utama negara juga tampak cukup 'mengena' dengan Pan-gon memanfaatkan sepenuhnya pemain-pemain yang lincah dan pantas seperti Arif Aiman Hanapi dan Akhyar Rashid di jentera sayap pasukan.

Malah, Pan-gon juga dilihat berani untuk mengarahkan para pemainnya menekan pasukan lawan dan memaksa Hong Kong yang berada di ranking lebih baik hanya mampu bertahan dan gagal mengatur serangan menguji penjaga gol negara, Mohd Farizal Marlias.

Corak permainan menekan lawan dengan intensiti tinggi juga jarang dilihat dalam aksi skuad negara dan boleh dikatakan bahawa Pan-gon sedang membina asas permainan yang dimahukannya.

Bagaimanapun, harus juga diakui bahawa kelompok pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) yang dipanggil merupakan penyumbang besar kepada kemantapan skuad negara.

Pan-gon tidak perlu bersusah payah untuk membentuk keserasian dalam pasukan selain corak permainan pemain JDT juga dilihat cukup sesuai dengan taktikal pengendali tersebut.

Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil akan menjadi gambaran sebenar taktikal yang akan diterapkan oleh Pan-gon terutama dalam menghadapi tentangan pasukan yang lebih kuat iaitu Bahrain dan Turkmenistan.

Mungkin masih terlalu awal untuk menaruh harapan tinggi kepada Pan-gon yang baru sahaja membimbing pasukan tidak sampai setahun.

Namun, jika mampu mencipta kejutan dengan mendapat keputusan positif menentang Bahrain dan Turkmenistan, ia sudah tentu akan menjadi asas kukuh untuk skuad negara menunjukkan peningkatan dalam waktu singkat.

Apa yang perlu diberikan perhatian oleh Pan-gon sudah tentu untuk menajamkan penyudah di jentera serangan selain permainan lebih fizikal sekiranya mahu menang ke atas Bahrain dan Turkmenistan.

Jika kita mampu mencapai keputusan positif ke atas kedua-dua pasukan itu dan tanpa memandang rendah kepada Bangladesh, maka peluang untuk layak ke Piala Asia sangat cerah.

Sebagai penyokong pula, kita perlu memainkan peranan penting dengan memberikan sokongan sepenuhnya apatah lagi perlawanan kelayakan ini akan berlangsung di stadium keramat iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil.

Manalah tahun ini adalah tapak awal untuk Pan-gon mencipta sensasi dan membawa Harimau Malaya ke Piala Dunia yang menjadi salah satu misinya serta harapan seluruh rakyat Malaysia.

Ayuh Harimau Malaya!